Saya mahu berkongsi satu tulisan seorang sahabat baik saya, Prof Dr Sazali Abdul Karim disini. Harap tuan puan mendapat faedah dari tulisan beliau ini seperti mana telah saya nikmati. Mari sama-sama kita renungi dan fikirkan tulisan beliau ini ...
Ada yang menyatakan bahagia itu relatif
sifatnya. Yang sakit, merasakan sihat itu bahagia. Tetapi bila sihat, benda
lain pula dirasakannya sebagai bahagia. Pada yang miskin, kaya itu dirasakan
bahagia. Tapi yang kaya merasakan kaya itu bukan bahagia. Tidak percaya? Baca
senarai panjang orang kaya, ternama dan popular membunuh diri atau sakit jiwa.
Itu bukti nyata mereka tidak bahagia.
Masalahnya bukan tidak mampu mencapai bahagia tetapi ramai
yang tidak mengetahui apakah erti bahagia sebenarnya. Begitu kata ahli-ahli
hikmah bila ditanyakan:
"Mengapa ramai manusia yang tidak bahagia?"
Jadi teraba-rabalah manusia mencari bahagia. Bila tidak tahu
apa yang dicari, maka sudah pasti tidak akan ditemui. Anehnya, manusia kerap bercakap tentang
bahagia - rumah tangga yang bahagia, pasangan yang bahagia atau diri yang
bahagia. Bercakap tanpa tahu makna?
Kerap kali orang menyangka orang lain lebih bahagia daripadanya. "Rumput
diseberang sana
kelihatan lebih hijau," begitu maksud pepatah Inggeris. Ini menyebabkan
kita sentiasa tidak puas. Hidup dilihat sebagai satu perbandingan dari sebuah pertandingan.
Bukan satu kesyukuran yang harus dikongsikan. Jadi, apa makna bahagia
sebenarnya?
Kebahagiaan sebenarnya adalah satu ketenangan. Ketenangan itu letaknya di hati.
Hati yang tenang ialah hati yang dapat menghadapi apa juga ujian hidup dengan
sebaik-baiknya. Jika yang datang nikmat, hati yang tenang bersyukur. Jika yang
datang musibah, hati yang tenang sabar. Hati yang tenang dipenuhi rasa qanaah,
tawakal, redha dan sifat mahmudah. Hati yang sedemikianlah dinamakan hati yang
sejahtera - qalbun salim. Hati yang mesti dimiliki walaupun cuma sedetik,
sebelum kita menemui Ilahi.
Bagaimana hati boleh tenang? Tidak lain... Hanya ingat pada Allah. Begitu
maksud yang diungkapkan dalam al-Quran. Rumah tangga yang tenang, ialah bila
setiap anggotanya ingatkan Allah. Apa maksud ingatkan Allah? Cukupkah dengan
ucapan dan sebutan subhanallah, alhamdulillah dan kalimat-kalimat zikir yang
lain? Belum. Maksud ingat Allah itu luas. Hati teringat, mulut menyebut,
anggota bertindak. Ingat yang menjunam di lubuk hati, terluah pada ucapan lidah
dan terzahir dalam tindakan dan perlakuan.
Bila diuji dengan kekurangan, kemiskinan, kesakitan bahkan kematian, terasa
kita layak menerima. Tidak mengeluh, "kenapa aku yang kena?"
sebaliknya terasa "Aku telah dipilih," "Aku hamba Allah, aku
layak diuji". Kata ulama, untuk tidak terasa susah apabila luput satu
nikmat, jangan berasa memiliki nikmat itu. Rasakan diri hanya peminjam. Bila
nikmat yang bukan milik kita itu ditarik, hati yang tenang menyerah dan pasrah
kepada Allah - Pemilik segalanya.
Jadi, untuk meringankan beban
hati menghadapi ujian hidup atau bala, ikatlah hati dengan Allah. Hendaklah
dikenal bahawa Allah lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa
keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik. Bila kita kenal
Allah yang maha pengasih dan penyayang, kita tidak boleh buruk sangka kepada
Allah dengan menganggap apa yang ditakdirkan (ujian) itu sesuatu yang tidak
baik. Iktikad (keyakinan) kita, bahawa semua ketentuan Allah itu baik - pasti
ada hikmah di sebaliknya akan menyebabkan hati terubat.
Hati tidak dapat tidak, mesti bersabar. Hati akan terdidik untuk redha dan
tawakal, kerana yakin qada dan qadar Allah pasti berlaku. Kerana manusia harus
terima, tidak boleh menolak ujian itu. Hamba yang soleh menanggung qadar dengan
sabar, bahkan gembira dengan pilihan Allah (ujian adalah pilihan Allah, bukan
pilihan manusia). Tidak ada pilihan Allah yang tidak baik. Semuanya baik
belaka! Maha Suci Allah yang tidak akan
menzalimi manusia walaupun ketika Dia menguji hamba Nya, hati yang tenang akan
berbisik;
"Ya Allah... Aku belum nampak akan kebaikan di sebalik kepedihan ini
dengan ilmuku yang terbatas. Tetapi aku yakin ya Allah, ilmu Mu maha luas,
pasti ada kebaikan yang masih terselindung di sebalik ujian ini. Yang ketika
ini tidak mampu aku fikirkan dan bayangkan..."
Maha Adil Allah yang tidak meletakkan bahagia pada harta, nanti si miskin akan
merasakan diabaikan. Maha Adil Allah yang tidak meletakkan bahagia pada
kesihatan, kelak yang sakit akan terasa dipinggirkan. Allah meletakkan bahagia
pada HATI yang tenang, sesuatu yang boleh dimiliki oleh semua manusia.
Bahagia itu bukan relatif dan subjektif sifatnya. Tetapi ia adalah sesuatu yang
mutlak, yang perlu dicapai oleh setiap insan. Redho & syukur, perjalanan
menuju bahagia itu pun sudah satu kebahagiaan. Ingat, kebahagiaan itu bukan
hanya di hujung jalan, tetapi ia ada di sepanjang jalan! Not only a destiny,
but a journey! Kata bijak pandai, orang yang bahagia tidak sempat bertanya
'apakah aku bahagia?'.
"Bila kita nak membahagiakan orang, kita sendiri perlu bahagia. Kita akan
bahagia bila melihat orang lain bahagia. Kesimpulannya, bahagiakan diri sebelum
membahagiakan orang lain."
Itulah dia tulisan beliau. Hebat! Moga kita sama-sama dapat faedah darinya.
Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir Batin.
No comments:
Post a Comment