Thursday, April 18, 2013
ISS
Semalam, tamat program ‘Vibrant Workforce, Productivity
Revolution’ (VWPR) untuk sekumpulan anggota kerja dari Jabatan Kejuruteraan,
Bahagian Penghantaran, Tenaga Nasional Berhad. Memang berbaloi aku
memfasilitator program kali ini kerana aku mulai jelas mengenai konsep ‘Ikhlas,
Sabar, Syukur’ (ISS) yang dikongsi oleh Ustaz Hairudin beberapa waktu yang
lalu.
Kalau dulu bila aku kongsikan idea ISS dengan participants,
aku lihat mereka mengganggap itu hanya salah satu slogan sahaja tanpa
benar-benar memahami signifikan ISS ini. Memang sudah ketentuan Tuhan, akhirnya
aku ketemukan satu pendekatan bagaimana harus kita melihat ISS ini. Ceritanya
begini …
Jika kita lihat hidup ini, ramai yang mengatakan hidup ini
tidak adil. Kenapa tidak adil? Ialah, perhatikanlah hidup ini. Ada manusia itu yang
niatnya suci ingin membantu dan sudahnya beliau pula yang dipandang bersalah. Ada
manusia itu yang melakukan kesalahan sudahnya beliau terlepas dari pengadilan.
Jadi dimanakah keadilannya? Walhal, kita sedia maklum, Tuhan itu Maha Adil.
Pertama, tanda Tuhan itu Maha Adil ialah dengan Tuhan menwujudkan
hari akhirat bagi Beliau mengadili segala ketidakadilan yang berlaku di atas
mukabumi ini. Tiada sebarang ketidakadilan akan terlepas di hari akhirat nanti!
Fikirkan …
Kedua, kita perlu sedar bahawa segala apa yang ada pada kita
sekarang adalah milik Tuhan termasuklah diri kita sendiri ini. Itu sebab ada
hari akhirat, bagi Tuhan soal kita samada kita benar-benar telah
bertanggungjawab atas apa yang telah dipinjamkan itu. Jika apa yang ada pada
diri kita ini milik kita, buat apa Tuhan perlu mempersoal kita? Maka Maha Adillah
Tuhan mempersoal kita kerana segala adalah milikNya. Fikirkan …
Berdasarkan kepada dua sebab di atas, sudah semestinya kita
perlu buat yang terbaik apa sahaja aktiviti kita di atas dunia ini. Dan kita
lakukan dengan terbaik untuk Tuhan dengan harapan agar Tuhan akan ‘bless’
kita. Bila Tuhan ‘Bless’ kita, hidup kita sudah pasti ‘Sejahtera Bahagia Kaya’
disini dan dunia sebelah sana. Inilah yang dinamakan IKHLAS. Fikirkan …
Bila kita bertemu kesusahan dalam sebarang aktiviti itu,
kita perlu SABAR. Ramai yang mengetahui hal ini. Namun ramai yang berpandangan
SABAR itu semacam satu tanda yang melambangkan bahawa kita lemah. Benarkah?
Sebenarnya, SABAR dalam kata erti sebenarnya adalah merupakan satu penyerahan
diri secara total kepada Tuhan. Maksudnya, kita memahami bahawa sebarang
kesusahan yang dihadapi itu merupakan milik Tuhan juga. Sudah pasti
penyelesaiannya ada pada Tuhan juga.
Atas dasar bahawa kita mahu buat yang terbaik untuk Tuhan
(IKHLAS), kita akan memohon agar Tuhan tunjukkan jalan penyelesaian yang
terbaik untuk kita. Sudahnya kita tidak akan berasa tertekan yang amat sangat.
Berbeza jika kita memandang sesuatu kesusahan itu sebagai tanggunggan atau
milik kita semata-mata, sudah pasti kita akan stress. Inilah yang dinamakan SABAR. Fikirkan …
Ramai orang bila bertemu dengan kesenangan dan puji-pujian akan
lupa diri. Mengapa? Kerana mereka berprasangka bahawa segala kesenangan dan
puji-pujian itu sebagai milik mereka. Sebaliknya jika kita sedar bahawa segala
kesenangan dan puji-pujian itu juga merupakan milik Tuhan, sudah pasti kita
akan bersyukur dan mengucapkan Segala Puji Bagi Tuhan (Alhamdullilah). Dalam kata
lain kita pulangkan segala kesenangan dan pujian itu kepada Tuhan. Hasilnya
kita tidak akan lupa diri. Itulah yang dinamakan SYUKUR. Fikirkan …
Bila kita memahami konsep ISS sebegini, maka dengan izin
Tuhan, kita akan berjalan atas mukabumi ini dengan penuh ketenangan dan jauh dari lupa diri yang menjahanamkan.
Sudahnya, adakah kita nampak peluang untuk amal ISS ini dalam segenap kehidupan
kita? Sebagai contoh, bila kita bekerja, adakah kita mampu buat yang terbaik
dan serahkan kepada Tuhan? (IKHLAS). Bila bertemu kesusahan dalam kerja, adakah
kita mampu memohon Tuhan membimbing kita? (SABAR). Bila kita menerima
kesenangan atau pujian orang, adakah kita mampu mengucapkan segala puji bagi
Tuhan? (SYUKUR).
Itulah satu perkara utama yang aku pelajari dalam VWPR kali
ini. Moga Tuhan rahmati kita semua.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment