Wednesday, May 8, 2013
Cerita Makan Buah
Tersebutlah kisah satu masa di zaman dahulu. Ada seorang
pemuda bernama Ayas. Nak dijadikan cerita, satu hari tu, Ayas telah pergi
mengiringi raja negeri itu pergi berburu didalam sebuah hutan tebal.
Selepas lama memburu, raja itu telah menitahkan agar semua
rombongan memburu baginda berhenti berehat di bawah sebatang pokok buah yang
sedang lebat berbuah. Raja itu lantas mengambil sebiji buah yang sedang masak
ranum. Lantas baginda membelah suku dari buah tersebut.
Raja itu lantas memberi suku bahagian buah itu kepada Ayas.
Sebaik sahaja Ayas memakan buah itu, Ayas terus mengatakan betapa manisnya buah
itu. Disebabkan raja itu sungguh gembira melihat Ayas menikmati buah tersebut,
lantas diberinya suku lagi bahagian buah tersebut kepada Ayas.
Ayas terus memakan buah tersebut sambil memuji-muji
kemanisan buah tersebut. Raja itu kian gembira dengan reaksi Ayas lalu
diberinya lagi suku bahagian buah tersebut. Ayas tidak habis-habis memuji
kemanisan buah tersebut sambil memakan buah pemberian raja itu.
Hanya masih tinggal suku bahagian di tangan raja. Tergerak
hati raja itu untuk menikmati baki buah yang ada di tangan baginda. Lantas baginda
memakan buah tersebut. Hampir sahaja baginda meluahkan semula buah yang dimakan
itu kerana buah itu terlalu masam!
Raja itu lantas bertanya kepada Ayas mengapa beliau
mengatakan buah itu manis walhal apa yang dirasakan baginda adalah sebaliknya.
Ayas hanya tersenyum lantas ini jawapan Ayas kepada raja …
“Tuanku, bukan selalu
orang biasa macam saya ini menerima pemberian dari tuanku. Saya amat
bersyukur dan gembira menerima pemberian dari tuanku walaupun saya tahu buah
itu terlalu masam.”
Raja itu duduk termenung seketika mendengar jawapan dari
Ayas.
Apa yang kita pelajari dari cerita di atas?
Cerita ini telah dikongsi oleh seorang sahabat baik saya
pada diri saya ketika saya menghadapi satu dilemma dalam hidup. Pelajaran yang
saya terima dari cerita ini ialah kita perlu sedar bahawa apa yang kita terima
dalam hidup ini sebenarnya merupakan pemberian Tuhan. Baik perkara yang baik
maupun tidak baik di mata kita. Semuanya pemberian Tuhan.
Untuk itu, kita perlu terima dengan hati terbuka dan
bersangka baik kepada Tuhan. Kenapa? Kerana Tuhan maha tahu apa yang terbaik
untuk kita. Tambah pula Tuhan maha jauh pandangannya dan sangat sayang pada
kita semua.
Jika inilah cara pandang kita, mana mungkin kita menjadi
seorang yang berfikiran negatif dan sentiasa memberi alasan dalam hidup ini.
Fikirkan …
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment