Tuesday, June 18, 2013
Menghargai Ilmu
Saya teringat kata seorang pakar organisasi Amerika (maaf,
namanya saya lupa), jika kita mahu lihat organisasi kita maju, pertama sekali
kita perlu menjadi sebuah organisasi yang mementingkan ilmu. Keduanya, kita perlu memastikan ilmu itu
berada dalam genggaman organisasi kita. Cuba semak, organisasi kita begitukah?
Saya tertarik dengan cerita sebuah organisasi ini. Kelihatan
pengurusan tertingginya beriya-iya benar mahu memastikan organisasi ini mula
dominan bukan saja di dalam negara tetapi menjadi ‘Regional Champion’ di rantau
ini. Melalui pengurusan strategik organisasi ini, mereka bijak mengenalpasti
bahawa ‘readiness’ anggota kerja organsasi perlu di tahap yang sewajarnya bagi
menangani segala cabaran yang mendatang.
Untuk itu, keperluan anggota kerja dari segi ‘hygenic’ dipermantapkan.
Segala perancangan mula disusun rapi. Disana sini segala macam makmal
ditubuhkan bagi memperkemas segala perancangan. Anggota kerja organisasi ini
kelihatan begitu positif untuk menyokong segala apa yang disarankan oleh
pengurusan tertinggi organisasi ini. Memang mengujakan!
Dalam diam-diam saya tertanya-tanya. Mungkin masanya belum
tiba. Tetapi bisik hati saya, adakah organsasi ini akan memandang serius apa
yang dinyatakan dalam perenggan pertama artikel ini? Ini perkara asas, jika
terlepas pandang harga yang perlu dibayar di kemudian hari sungguh mahal.
Saya lihat ramai anggota kerjanya masih belum benar-benar
mencintai ilmu. Masih ramai yang bertangguh-tangguh dalam menyedut segala ilmu
yang ada. Kenapa jadi begini? Kata seorang sahabat, inilah penangan duduk lama
dalam ‘comfort zone’. Dasar ilmu menjadi
berkat, perlu ada mujahaddah ilmu (susah payah mencari ilmu). No pain no gain. Takkan
lah mereka perlu ‘terjun lubuk’ untuk mendapatkan ilmu? Mungkin itu perlu untuk
keluar dari ‘comfort zone’?
Kelihatan anggota kerja organisasi ini ramai yang tinggi
ilmu dan pengalamannya. Tetapi masing-masing kelihatan begitu berat untuk
berkongsi ilmu. Adakah suasana sedia ada tidak memberangsangkan perkongsian
ilmu? Mungkin ada kebenarannya kerana insentif bagi mereka yang berkongsi ilmu
tidak seberapa. Insentif sebegitu hanya merendah-rendahkan martabat ilmu itu.
Mungkin ada yang berfikir kenapa perlu fikir dengan insentif
kerana masing-masing telah dibayar gaji dan ambil saja apa saja ilmu yang
dikongsi itu sebagai sebahagian dari tugas. Mungkin ada benarnya. Tetapi bagi
mereka yang berfikir sedemikian, satu persoalan ingin saya utarakan. Tugas berkongsi
ilmu (mengajar) ini satu kerja yang terlalu berat. Tak percaya tanya mereka
yang pernah mengajar … maksud saya yang benar-benar mengajar.
Kalau orang luar dibayar begitu tinggi, mengapa yang ada di
dalam organisasi di bayar sedemikian rendah. Nak cakap nilainya pun malu.
Walhal, mereka yang di dalam inilah yang paling tahu mengenai sepak terajang
cerita dalam organisasi ini. Ini memng cerita pelik binti ajaib bagi mereka
yang benar-benar berfikir.
Bayangkan satu suasana di mana anggota kerja organisasi ini
yang saling berlumba berkongsi ilmu dan mempelajari ilmu. Masing-masing nampak
nilai ilmu di tangan masing-masing dan masing-masing sedar mereka perlu
bekerjasama agar wujud ‘interdependence’ di kalangan mereka. Siapa sudahnya untung?
Semesti semua nilai ini akan tertumpah jatuh dalam organisasi ini juga. In no
time, ‘readiness’ dan ‘confidence’ dikalangan anggota kerja ini akan mula
terbentuk.
Siang tadi saya berkesempatan berbual dengan seorang pemuda
dari Bangalore, India yang bernama Saudara Prathaab yang begitu hebat pencapaiannya di
peringkat antarabangsa. Bermula sebagai seorang juruterbang pejuang dalam
angkatan tentera udara India, beliau sudahnya mencapai penghormatan tertinggi
dalam bidang tersebut. Namun akibat satu kecederaan serius beliau terpaksa
meninggalkan bidang penerbangan dan membuat keputusan beralih ke bidang
perniagaan antarabangsa. Menyertai syarikat dan perunding bertaraf dunia
membawa beliau ke satu mercu yang amat membanggakan.
Bila saya bertanya kepada beliau apa yang menyebabkan
pencapaiannya begitu hebat, beliau menyatakan bahawa beliau mempunyai tiga pegangan. Pertama:
matlamat yang jelas, Kedua: mempunyai kompetensi yang khusus yang sangat-sangat
diperlukan oleh orang lain, Ketiga: Dahaga kepada ilmu.
Saya harap dan berdoa agar anggota kerja organisasi yang
dimaksudkan di atas mempunyai sudut pandang seperti apa yang ada pada Saudara
Prathaab ini. Cerita artikel ini mudah tapi
adakah ini yang mahu dikotakan? Sama-sama kita fikirkan dan ambil tindakan …
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment