Sunday, September 22, 2013
Kerana Sebiji Epal
"Indah sungguh suasana di tepi sungai ini. Airnya
mengalir tenang dan anginnya bertiup lembut. Biarlah saya duduk di sini untuk
berzikir kepada Tuhan," kata Abu Salleh sendirian lalu duduk di tepi
sungai.
Sungai itu terletak di sebuah pekan kecil bernama Jilan. Di
situlah tempat tinggal Abu Salleh. Ketika dia sedang berzikir, terpandang olehnya sebiji epal
hanyut di tebing sungai. Perutnya yang memang belum diisi sejak awal pagi
berbunyi beberapa kali. "Mungin ini rezeki untuk saya," katanya lalu
mengambilnya.
Abu Salleh memakan sebiji epal itu sehingga habis. Tiba-tiba
dia berdiri dengan wajah yang terkejut, "Saya memakan epal ini tanpa izin
tuannya. Tentu pemilik epal ini berada di hulu sungai."
Abu Salleh berjalan menyusur tebing sungai menghala ke hulu
sambil memerhati kesekeliling kalau-kalau ada pokok epal di situ. Jauh dia
berjalan meninggalkan pekan Jilan. Dia terus berjalan sehingga akhirnya dia
menemui sebuah ladang epal.
"Syukurlah akhirnya saya menemui ladang epal. Saya
yakin epal yang saya makan tadi datang dari ladang ini. Lebih baik saya segera
menemuinya." Abu Salleh terus memasukki ladang epal itu dan menemui
pemiliknya. Pemilik itu bernama Sheikh Abdullah.
"Saya memohon maaf dan mohon dihalalkan sebiji epal
yang saya memakannya," pinta Abu Salleh kepada Sheikh Abdullah. Sheikh Abdullah memerhatikan Abu Salleh untuk beberapa
ketika lalu tersenyum. Dia menarik nafas panjang dan berkata, "Saya boleh
memaafkan saudara dengan satu syarat."
"Katakanlah apakah syarat itu? Saya akan
memenuhinya."
"Saya mahu saudara bekerja di ladang epal ini selama
dua belas tahun!"
Tanpa banyak soal, Abu Salleh mengangguk dan menyatakan
persetujuannya. Bekerjalah Abu Salleh di ladang epal milik Sheikh Abdullah itu
selama dua belas tahun dengan penuh amanah dan tanggong jawab. Sheikh Abdullah
memerhatikan tingkah laku Abu Salleh sepanjang tempoh itu dan mula tertarik
hati. Dia bercadang untuk mengahwinkan puterinya dengan Abu Salleh.
Akhirnya tamatlah tempoh dua belas tahun lalu Abu Salleh
menemui Sheikh Abdullah. "Saya sudah menunaikan syarat tuan. Halalkanlah
epal yang saya makan itu." Sheikh Abdullah terpegun dengan kata-kata Abu Salleh yang
jelas menggambarkan dia adalah seorang anak muda yang jujur lalu dia berkata,
"Saya akan mengenakan satu lagi syarat ke atas saudara."
"Katakanlah syarat itu, saya akan tunaikan."
"Syaratnya ialah, saudara mesti mengahwini puteri saya.
Tetapi biarlah saya berterus terang tentang keadaan puteri saya itu."
"Katakanlah! Saya akan mematuhinya."
"Puteri saya bernama Ummu Khair Fatimah. Dia seorang
yang lumpuh, pekak, buta dan bisu. Mahukah saudara mengahwini puteri saya itu
sebagai syarat kedua untuk saya memaafkan saudara?"
Sejenak Abu Salleh termenung membuatkan dada Sheikh Abdullah
berdebar-debar. Akhirnya Abu Salleh memandang ke arah Sheikh Abdullah dan
tersenyum, "Saya akan mengahwini puteri tuan sekiranya tuan menghalalkan
sebiji epal yang saya makan tanpa izin dua belas tahun yang lalu."
"Baiklah. Saya akan menghalalkan sebiji epal yang
saudara makan itu sekiranya saudara mengahwini puteri saya."
Maka berlangsunglah satu majlis perkahwinan di antara Abu
Salleh dan Ummu Khair Fatimah. Pada malam perkahwinan itu, Abu Salleh masuk ke
bilik pengantin dan memberi salam.kepada isterinya. Sebaik sahaja isterinya
menoleh ke arahnya. Wajah Abu Salleh berubah kerana dia amat terkejut lalu
berlari ke ruang tamu menemui bapa mertuanya, Sheikh Abdullah.
"Adakah seorang perempuan lain di dalam bilik
pengantin? Di manakah isteri saya yang lumpuh, buta, pekak dan bisu itu?"
Sheikh Abdullah tersenyum mendengar pertanyaan Abu Salleh
lalu menjawab, "Perempuan yang berada di dalam bilik pengantin itu ialah
puteri saya, Ummu Khair Fatimah. Saya mengatakan dia lumpuh kerana kakinya
tidak pernah menjejak ke tempat maksiat. Saya mengatakan dia pekak kerana dia
tidak pernah mendengar perkara yang terlarang. Saya katakan dia buta kerana dia
tidak pernah melihat perkara yang haram dan saya mengatakan dia bisu kerana dia
tidak pernah menuturkan sesuatu yang sia-sia."
Tersenyumlah Abu Salleh sebaik sahaja Sheikh Abdullah
menghabiskan kata-katanya lalu dia menadah tangan, "Ya Tuhan! Hambamu
mengucapkan syukur yang tidak terhingga!"
Hasil perkawinan Abu Salleh dan Ummu Khair Fatimah ini
lahirlah seorang ahli agama yang terkenal diberi nama Sheikh Abdul Kadir
Jailani. Beliau digelar Mahyuddin yang bermaksud, Yang menghidupkan Agama!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment