Tuesday, October 15, 2013
Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail
BERKORBAN bererti kesanggupan memberikan dengan ikhlas
sesuatu amat disayangi kepada orang lain supaya dapat memberi manfaat kepada
orang itu. Antara peristiwa mengesankan hati ialah kisah pengorbanan Nabi
Ibrahim yang mengajar supaya taat perintah, beriman dan berserah kepada Allah.
Berkorban untuk mendapat cinta Ilahi adalah kesanggupan yang
tiada galang gantinya, berkorban untuk keredaan-Nya juga tidak mampu dilakukan
setiap hamba, malah pengorbanan menuntut desakan hati yang kasihnya hanya pada
Yang Esa.
Kerana kuasa ‘korban’ yang begitu besar, sering kali ada
bertanya, apakah ganjaran berkorban?
Daripada Zaid bin Arqam, katanya suatu hari sahabat
Rasulullah SAW bertanya yang bermaksud: “Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada
korban itu? Jawab Rasulullah: Ia adalah sunnah bapa kamu, Ibrahim.
Mereka berkata: Apa yang akan kami peroleh daripadanya wahai
Rasulullah? Rasulullah menjawab: Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya.
Mereka berkata: Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah? Rasulullah SAW
menjawab: Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya.” (Hadis riwayat Ahmad, Ibnu
Majah dan Tirmizi)
Hadis ini mengingatkan kita kisah pengorbanan Nabi Ibrahim
dan Nabi Ismail yang sanggup bergadai nyawa demi reda Ilahi dan akur bahawa
setiap khazanah bumi hanyalah milik Allah dan Dia berhak mengambil serta
menganugerahkan apa saja.
Kitab Tafsir Ibn Kathir merakamkan pada awalnya, Nabi
Ibrahim tidak dikurniakan zuriat walaupun Baginda sudah lanjut usia. Namun
Baginda tidak pernah berputus asa berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT supaya
dikurniakan zuriat.
Maka dengan kuasa Allah yang tidak dapat diduga, Baginda
dikurniakan cahaya mata pertama bernama Ismail. Selepas Nabi Ismail meningkat
remaja, satu ujian berat diturunkan Allah SWT ke atas dua beranak itu dengan
tujuan menguji keimanan dan ketakwaan mereka kepada Allah.
Allah SWT memerintah Nabi Ibrahim menyembelih putera
kesayangannya. Walaupun berat hati Nabi Ibrahim menyatakan perintah Allah
kepada anaknya, Ismail, tetapi ia adalah perintah Allah SWT yang wajib
dilaksanakan.
Dengan hati sedih, Nabi Ibrahim menyatakan perintah Allah
itu kepada Nabi Ismail, namun tiada apa yang mengejutkan Nabi Ismail sebaliknya
berkata: “Wahai bapaku laksanakanlah apa diperintahkan oleh Allah, moga-moga
kamu akan mendapati aku dalam golongan orang yang sabar.”
Ada dua dimensi pengorbanan yang boleh dijadikan iktibar,
iaitu seorang ayah terpaksa mengorbankan perasaan cinta dan kasih kepada anak
yang sudah lama ditunggu-tunggu dengan ‘mengorbankannya’, demi kepatuhan dan
keredaan terhadap perintah Allah SWT.
Seterusnya, ketaatan dan keyakinan Nabi Ismail yang sanggup
mengorbankan kasih kepada ibu dan ayahnya serta keseronokan zaman remajanya,
malah sanggup mengorbankan nyawa sendiri, semata-mata taat terhadap perintah
Allah dan perintah seorang ayah.
Kedua-dua pengorbanan ini sebenarnya berpusat daripada
hubungan cinta sejati mereka kepada Allah SWT yang tidak berbelah bahagi. Sebab
itulah, seandainya seorang Muslim itu mendahulukan cinta Allah daripada cinta
makhluk, mereka pasti akan beroleh jaminan besar.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada tujuh golongan
yang mendapat perlindungan Allah pada hari yang tidak ada perlindungan
melainkan perlindungan Allah SWT iaitu;
1) Imam yang adil.
2) Pemuda yang mengabdikan
diri untuk beribadah kerana Allah.
3) Lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan
masjid.
4) Dua orang lelaki yang bersahabat, mereka bertemu kerana Allah dan
berpisah juga kerana Allah.
5) Lelaki yang digoda oleh seorang wanita yang
memiliki kedudukan dan kecantikan kemudian menolaknya lalu berkata: Sesungguhnya aku takutkan Allah.
6) Lelaki yang bersedekah
sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang tangan kanannya sedekahkan.
7) Lelaki yang menitiskan air mata, beribadah menyebut nama Allah ketika
bersendirian.”
(Hadis riwayat Muslim)
Sesungguhnya cinta daripada Allah ada sumber cinta yang
paling tinggi dan utama. Apabila berlaku pertembungan antara cinta Allah dengan
cinta makhluk, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memenangkan cinta mereka kepada
Allah tanpa ragu-ragu.
Baginda mengetahui bukan mudah meletakkan cinta pada
pemiliknya tetapi keyakinan terhadap Ilahi memungkinkan segala-galanya dan ia
hanya akan dimiliki oleh sesiapa yang sudah cukup kenal Allah SWT.
Menurut Imam al-Ghazali, makrifah (ilmu pengetahuan) itu
akan mendahului cinta kerana cinta tanpa makrifah tidak mungkin berlaku.
Manusia hanya dapat mencintai sesuatu yang dikenalinya saja. Sebab itulah kita
perlu rasional memilih cinta yang sementara supaya ia tidak mengatasi cinta
yang kekal sampai bila-bila.
Takut mengorbankan dunia kerana akhirat pernah menjadi
peringatan kepada setiap muslimin. Sifat tamak terhadap cinta dunia yang
lumayan menjerumuskan kita ke lembah sia-sia, tiada apa pun yang menjadi milik
kita, walau pasir sebesar zarah.
Justeru, biarlah peristiwa 10 Zulhijjah yang mengimbau
sebuah pengorbanan menjadi zikir untuk kita menetapkan hati sentiasa beringat
bahawa segala khazanah dunia ini pemiliknya hanya satu saja dan kita perlu
sentiasa bersedia berkorban apa saja.
(Sumber: Berita Harian)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment