Wednesday, March 19, 2014
Paku Di Tiang
Beberapa ketika yang silam, ada seorang tua yang mempunyai
seorang anak lelaki bernama Mat. Mat membesar menjadi seorang yang lalai
menunaikan suruhan agama. Meskipun telah berbuih ajakan dan nasihat,suruhan dan
perintah dari ayahnya agar Mat bersembahyang, puasa dan lain-lain amal
kebajikan, dia tetap meninggalkannya.Sebaliknya amal kejahatan pula yang
menjadi kebiasaannya.
Kaki judi, kaki botol, dan seribu satu macam jenis kaki lagi
menjadi kemegahannya. Suatu hari orang tua tadi memanggil anaknya dan berkata,
"Mat, kau ni terlalu sangat lalai dan berbuat kemungkaran. Mulai hari ini
aku akan pacakkan satu paku tiang di tengah halaman rumah kita. Setiap kali kau
berbuat satu kejahatan,maka aku akan benamkan satu paku ke tiang ini. Dan
setiap kali kau berbuat satu kebajikan, sebatang paku akan kucabut keluar dari tiang
ini."
Bapanya berbuat sepertimana yang dia janjikan, dan setiap
hari dia akan memukul beberapa batang paku ke tiang tersebut. Kadang-kadang
sampai berpuluh paku dalam satu hari. Jarang-jarang benar dia mencabut keluar
paku dari tiang.
Hari bersilih ganti, beberapa purnama berlalu, dari musim
ribut tengkujuh berganti kemarau panjang. Tahun demi tahun beredar.Tiang yang
berdiri megah di halaman kini telah hampir dipenuhi dengan tusukan paku-paku
dari bawah sampai ke atas. Hampir setiap permukaan tiang itu dipenuhi dengan
paku-paku. Ada yang berkarat lepat dek kerana hujan dan panas.
Setelah melihat keadaan tiang yang bersusukan dengan
paku-paku yang menjijikkan pandangan mata, timbullah rasa malu. Maka dia pun
berazamlah untuk memperbaiki dirinya. Mulai detik itu, Mat mula sembahyang.
Hari itu saja lima butir paku dicabut ayahnya dari tiang. Besoknya selepas
sembahyang lagi ditambah dengan sunat-sunatnya. Lebih banyak lagi paku
tercabut.
Hari berikutnya Mat tinggalkan sisa-sisa maksiat yang
melekat. Maka semakin banyaklah tercabut paku-paku tadi. Hari demi hari,
semakin banyak kebaikan yang Mat lakukan dan semakin banyak maksiat yang
ditinggal, hingga akhirnya hanya tinggal sebatang paku yang tinggal melekat di
tiang.
Maka ayahnya pun memanggil anaknya dan berkata:
"Lihatlah anakku, ini paku terakhir, dan akan aku cabutkannya keluar
sekarang. Tidakkah kamu gembira?" Mat merenung pada tiang tersebut, tapi
disebalik melahirkan rasa gembira sebagai yang disangkakan oleh ayahnya, dia
mula menangis teresak-esak. "Kenapa anakku?" tanya ayahnya, "aku
menyangkakan tentunya kau gembira kerana semua paku-paku tadi telah
tiada."
Dalam nada yang sayu Mat mengeluh, "Wahai ayahku,
sungguh benar katamu, paku-paku itu telah tiada,tapi aku bersedih parut - parut
lubang dari paku itu tetap kekal ditiang, bersama dengan karatnya."
Pelajaran:
Dengan dosa-dosa dan kemungkaran yang
seringkali diulangi hinggakan menjadi suatu kebiasaan ,kita mungkin boleh
mengatasinya, atau secara beransur-ansur menghapuskannya,tapi ingatlah bahawa
parut-parutnya akan kekal. Dari itu, bilamana kita menyedari diri ini melakukan
suatu kemungkaran, ataupun sedang diambang pintu tabiat yang buruk, maka
berhentilah serta-merta.
Kerana setiap kali kita bergelimang dalam kemungkaran, maka
kita telah membenamkan sebilah paku lagi yang akan meninggalkan parut pada jiwa
kita, meskipun paku itu kita cabut kemudiannya. Apatah lagi kalau kita biarkan
ianya berkarat dalam diri ini sebelum dicabut. Lebih-lebih lagilah kalau
dibiarkan berkarat dan tak dicabut.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment