Thursday, March 27, 2014
Si Budak Penjual Kuih
Hari itu selepas 3 hari melaksanakan satu program di utara semenanjung, saya pulang ke
Kuala Lumpur. Memikirkan saya mahukan kelainan, saya menyusuri laluan lama. Pekan
pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya singgah
sebentar disebuah restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan,
seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul dihadapan.
"Pakcik nak beli kuih?" katanya sambil tersenyum.
Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaanya.
“Tak apalah dik... Pakcik dah pesan makanan," jawap saya
ringkas.
Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya.
Lebih kurang 20 minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri
pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu
begitu saja.
"Pakcik dah makan, tak nak beli kuih saya?" katanya
selamba semasa menghampiri meja saya.
"Pakcik baru lepas makan dik. Masih kenyang lagi
ni," kata saya sambil menepuk-nepuk perut.
Dia beredar, tapi cuma setakat di kaki lima. Sampai disitu,
dia meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu ditanya, "Tak
nak beli kuih saya bang, pakcik, kakak atau makcik?"
Molek budi bahasanya! Mamak restoran itu pun tidak menghalng
dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit
rasa kagum dan kasihan dihati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha.
Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang
ditemuinya enggan membeli kuihnya.
Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus
beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh di deretan kedai
yang sama. Saya buka pintu, membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat
saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan
sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumannya. Saya lihat umurnya
lebih kurang 12 tahun.
"Pakcik dah kenyang, tapi mungkin pakcik perlukan kuih
saya untuk anak-anak pakcik" katanya petah sekali
sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak
daun pisang penutupnya.
Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul
persaan kesian dihati. Lantas saya buka dompet, dan menghulurkan sekeping not
merah RM10. Saya hulurkan padanya.
"Ambil ni dik! Pakcik sedekah. Tak payah pakcik beli kuih
tu," saya berkata ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat mendadak.
Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus
berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya.
Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya
saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada
seorang pengemis yang buta kedua-dua matanya.
Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta,
memanggil kanak-kanak itu.
"Kenapa pakcik nak beli kuih ke?" tanyanya.
"Kenapa adik berikan duit pakcik tadi pada pengemis tu?
Duit tu pakcik bagi adik!" kata saya tanpa menjawap pertanyaannya.
"Pakcik, saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia
dapat tahu saya mengemis. Kata mak, kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Tuhan berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit
sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak,
mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat pakcik!" katanya
begitu lancar.
Saya sebak, sekaligus kagum dengan pegangan hidup
kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya berapa semua harga kuih
dalam bakul itu.
"Pakcik nak beli semua ke?" dia bertanya dan saya
cuma mengangguk. Lidah saya kelu nak berkata.
"RM25 saja pakcik."
Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya kedalam plastik,
saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu.
Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan. Dalam
perjalanan ke Kuala Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak
yatimkah? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirknya? Terus terang saya
katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kasihan, tetapi kerana rasa
kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu penghormatan.
Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia
menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya!
Moral: Satu perjalananan seorang kanak-kanak yang begitu taat
kepada perintah Tuhannya. Semoga menjadi renungan bersama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment