Tuesday, April 15, 2014
Kisah Pokok Epal
Suatu ketika, hiduplah sebatang pokok epal dan seorang anak
kecil lelaki yang suka bermain setiap hari di bawah pokok epal itu.
Anak kecil lelaki itu suka memanjat pokok epal itu, memakan
buah epal pokok epal itu dan tidur di bawah pokok epal yang rendang itu. Demikian
pula, pokok epal itu amat menyayangi anak kecil lelaki itu.
Waktu terus berlalu. Anak kecil lelaki itu kini makin
membesar dan dia tidak lagi bermain di bawah pokok epal itu setiap hari.
Satu hari, anak lelaki itu datang bertemu dengan pokok epal
itu. Wajahnya nampak sedih …
“Wahai anak, mari bermain dengan ku” kata pokok epal itu
dengan girang.
“Aku bukan anak kecil lagi yang suka bermain pokok epal.”
kata anak lelaki itu.
“Aku ingin sekali
membeli permainan tetapi aku tidak punya wang.” rungut anak lelaki itu.
Pokok epal itu menyahut, “Aku pun tidak punya wang tetapi
kau boleh mengambil semua buah epal aku dan menjualnya untuk mendapatkan wang.
Dengan wang tersebut, kau boleh membeli permainan kegemaran kau itu.”
Anak lelaki itu sangat gembira lalu memetik semua buah epal
pokok epal tersebut. Selepas itu anak lelaki meninggalkan pokok epal itu dengan
gembira. Namun, selepas itu, anak lelaki itu tidak lagi kembali bertemu dengan
pokok epal itu. Pokok epal itu sangat sedih.
Satu hari, anak lelaki itu datang lagi. Pokok epal itu
sangat gembira melihat anak lelaki itu.
“Wahai anak, mari bermain dengan saya” kata pokok epal itu
dengan penuh harapan.
“Aku tidak punya masa untuk bermain.” balas anak lelaki itu.
“Aku harus bekerja untuk menyara keluarga aku. Sekarang aku
perlu membina rumah untuk keluarga aku berteduh. Mahukah kau membantu aku
membina rumah?
“Maaf, aku sendiri pun tidak ada rumah. Tetapi kau boleh
memotong segala dahan dan ranting yang ada pada aku ini untuk membina rumah
tersebut” kata pokok epal itu.
Anak lelaki itu lalu menebang segala ranting dan dahan pkok
epal itu dan berlalu pergi dengan gembira.
Pokok epal itu merasa amat bahagia melihat anak lelaki itu
senang tetapi anak lelaki itu tidak pernah kembali lagi. Pokok epal itu berasa
sangat sedih dan kesepian.
Satu masa, lama selepas kali terakhir anak lelaki itu
bertemu pokok epal itu, anak lelaki itu datang kembali. Pokok epal itu sangat
gembira lalu mengajak anak lelaki itu bermain dengannya. Ajakan pokok epal itu
tidak diendahkan oleh anak lelaki itu.
Malah dia berkata, “Aku sangat sedih kerana aku sudah makin
tua. Aku mahukan sebuah kapal untuk pergi bersiar-siar. Mahukah kamu berikan
aku sebuah kapal?”
“Maaf, kerana aku tidak punya kapal tetapi kau boleh tebang
batang tubuh aku ini untuk membuat kapal yang kau inginkan itu.” kata pokok
epal itu dengan sepontan.
Kemudian anak lelaki itu lantas memotong batang pokok epal
itu lalu membuat kapal idamannya. Dia lalu pergi belayar dan tidak kembali
lagi. Akhirnya, selepas bertahun-tahun belayar, dia kembali semula kepada pokok
epal itu..
“Maaf anak ku, aku
sudah tidak punya buah epal untuk kau makan lagi” kata pokok epal itu dengan
sayu.
“Tak apa. Aku pun sudah tidak punya gigi untuk menggigit
buah epal kamu.” kata anak lelaki itu.
“Aku pun tidak punya
batang pokok untuk kau panjat lagi.” tambah pokok epal itu dengan sedih.
“Sekarang, aku sudah terlalu tua untuk itu.” kata anak
lelaki itu lagi.
“Aku benar-benar
tidak punya apa lagi untuk aku berikan kepada mu anak.” kata pokok epal itu
lagi dengan nada kesal.
“Yang ada hanyalah akar-akar yang sudah tua dan sudah tidak
berguna lagi ini.” kata pokok epal itu lagi dengan air matanya bercucuran.
“Aku sudah tidak memerlukan apa-apa lagi dari diri mu.” kata
anak lelaki itu.
“Aku hanya mahukan tempat berehat. Aku sangat letih selepas
lama meninggalkan kamu.” tambah anak lelaki itu.
“Oh benarkah? Akar-akar aku ini memang sesuai untuk berehat.
Mari berbaring dicelah-celah akar akar aku ini.” kata pokok epal itu dengan
girang.
Anak lelaki yang sudah tua itu lalu berbaring memeluk
akar-akar pokok epal itu. Pokok epal itu sangat gembira dan tersenyum sambil
menitiskan air matanya.
Ini adalah cerita kita semua. Pokok epal itu adalah ibarat
ibu bapa kita. Ketika kita muda, kita suka bermain dengan ibu bapa kita.
Ketika kita mula dewasa, kita datang hanya sesekali kepada
mereka di kala kita memerlukan bantuan mereka atau kita di dalam kesusahan. Tidak kira waktu,
ibu bapa kita sentiasa bermurah hati untuk memberikan segala bantuan yang
diperlukan agar kita tetap bahagia.
Mungkin ada antara kita mengatakan bahawa anak lelaki ini
bertindak keterlaluan terhadap pokok epal itu tetapi itulah hakikatnya
bagaimana kita bertindak terhadap ibu bapa kita.
Sedarkah kita dengan semunya ini …?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment