Monday, May 19, 2014
Keutamaan Memberi
Kita kadangkala lupa untuk menghargai kaum kerabat,
saudara-mara, jiran tetangga dan juga teman-teman yang ada disekeliling kita.
Pernahkah kita sedar bahawa setiap orang yang hadir dalam hidup kita telah
menambah erti kehidupan pada diri kita? Kita telah menemui pelbagai jenis ragam
manusia yang adakalanya menggembirakan, adakalanya menyakitkan dan mungkin juga
mengecilkan hati kita. Namun sebenarnya kita telah pelajari sesuatu dari sebuah
kehidupan.
Pernahkah kita menghargai kehadiran mereka dalam kehidupan
kita dengan memberikan sesuatu kepada mereka. Betapa indahnya sebuah pemberian
yang penuh dengan keikhlasan. Pasti yang menerimanya juga akan merasakan
keikhlasan kita itu. Kadang-kadang kita memberi, kadang-kadang kita pula
menerima, Konsepnya sama, memberi dengan ikhlas, menerimanya juga dengan
ikhlas. Bukan setiap masa kita memberi, dan bukan setiap masa kita menerima.
Dalam persahabatan umpamanya kita perlu belajar umpamanya
kita perlu belajar memberi dan menerima. Memberilah sekadar termampu,
memberilah ketika kita masih boleh memberi. Usah pedulikan cacian mereka
disekeliling. Percayalah orang yang memberi akan lebih gembira dari yang
menerimanya.
Hadiah bermaksud sesuatu pemberian sebagai tanda
penghargaan, kasih sayang atau pujian kepada seseorang. Hukum memberikan hadiah
adalah sunat. Daripada Abu
Hurairah r.a, katanya Rasulullah S.A.W bersabda: "Saling memberikan hadiah
di antara kamu nescaya kamu akan berkasih sayang." (HR : At-Tabrani)
Adab Memberi (Sedekah, hadiah, hibah dan lain-lain)
1. Niat kerana Allah SWT semata, tiada niat yang lain.
2. Pemberian itu membawa manfaat kepada si penerima.
3. Pemberian diberikan dengan cara yang sebaik-baiknya.
4. Tidak mengharapkan apa-apa balasan.
Adab Menerima (Sedekah, hadiah, hibah dan lain-lain)
1. Tunjukkan rasa gembira ketika menerima bantuan dan hadiah
sebagai tanda suka dan menghargainya sama ada nilai pemberian itu kecil atau
besar.
2. Berdoa untuknya mudah-mudahan dia dimurahkan rezeki agar
dapat membantu lebih ramai orang lagi dan diberi kebaikan hidup di dunia dan
akhirat.
3. Tanamkan azam untuk membalas kebaikan itu.
Kelebihan Memberi (Sedekah, hadiah, hibah dan lain-lain)
1. Mendapat ganjaran baik daripada Allah SWT.
2. Mereka yang suka memberi akan dimurahkan rezekinya
hidupnya sentiasa berada dalam keberkatan Allah. Malah pemberian itu akan
digantikan dengan yang lebih baik.
3. Dapat meringankan beban mana-mana individu dan anggota
masyarakat yang berhajat dan memerlukan.
4. Menghapuskan dosa-dosa orang yang memberi.
5. Disukai oleh manusia. Tidak ada orang yang tidak sukakan
hadiah (pemberian percuma)
6 Mengeratkan silaturahim. Sikap suka memberi (sama ada atas
nama sedekah, hadiah, hibah atau sebarang bantuan dan pertolongan) dapat
mengeratkan ikatan ukhuwah islamiyah dan melahirkan kasih sayang.
Sabda baginda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Janganlah
engkau menghina seorang jiran yang menghadiahkan kepada jirannya walaupun hanya
dengan kuku kambing." (HR : Muslim)
Islam sangat menggalakkan umatnya untuk saling memberi
hadiah. Berusahalah untuk lebih banyak memberi daripada hanya mengharap menerima
pemberian orang lain. Terimalah juga dengan jiwa yang besar, jangan merasa
sakit hati, tapi bertekadlah dalam hati untuk berusaha membalas pemberian
tersebut kepadanya dengan lebih baik.
Dalam hidup ini kita perlu banyak memberi untuk banyak
menerima. Memberi juga jangan mengharap balasan kerana pulangan sudah
dijanjikan-Nya. Bagaimana, bila dan bentuk pulangannya terpulang kepada Allah
SWT dan bergantung kepada keikhlasan ketika kita memberi.
Pulangannya tidak semestinya dalam bentuk mata wang sahaja,
mungkin dalam bentuk-bentuk seperti;
1) Rasa gembira dan tenang bila melakukan kebaikan.
2) Keluarga yang sakinah
3) Anak-anak yang bijak dan soleh
4) Rezeki yang mudah, kalau ada masalah pun diberikan Allah
jalan keluar penyelesaiannya.
5) Sentiasa ditemukan dengan orang yang baik-baik.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment