Friday, October 31, 2014
Negara Tikus
Kisahnya bermula di sebuah negara yang diberi nama negara
Tikus. Kenapa diberi nama negara Tikus? Sebab semua penduduk negara tersebut
adalah tikus. Bermacam-macam jenis tikus ada. Tikus mondok, tikus putih, tikus
hitam, tikus kecik, tikus besar dan macam-macam lagi la. Ok, negara ini pada
mulanya begitu aman di mana tikus-tikus dengan amannya berkeliaran dan
bersosial di antara satu sama lain. Mereka hidup dengan tenang dan damai.
Namun, suatu hari, secara tiba-tiba negara Tikus ini telah
diserang oleh seekor kucing gergasi. Sejak menemui negara Tikus, kucing gergasi
ini sering saja menyerang negara tersebut apabila lapar. Asal lapar je, serang.
Asal lapar je, serang. Asal serang je, lapar. Kucing gergasi tersebut
menjadikan tikus-tikus di situ sebagai santapannya. Maka bertempiaranlah
tikus-tikus setiap kali diserang oleh kucing tersebut. Kucing gergasi tersebut
dengan rakusnya memakan tikus-tikus di situ. Anak tikus, bapa tikus, mak tikus,
hatta tok wan tikus yang tua pun dimakannya. Kesian.
Disebabkan begitu risau dan takut dengan serangan kucing
gergasi tersebut, perdana menteri negara Tikus memanggil semua tikus-tikus
berkumpul untuk mebincang masalah tersebut. Mereka berkumpul di Dataran Tikus.
“Semua tikus sekalian, saya memohon pandangan dan idea daripada anda semua
untuk kita bersama-sama mempertahankan negara kita daripada ancaman kucing
gergasi ini,” ucap perdana menteri tikus. Tetapi, perhimpunan tersebut menjadi
sepi kerana masing-masing buntu memikirkan cara yang terbaik mengatasi masalah
ini.
Tiba-tiba, seekor tikus tua bertaraf professor
perlahan-perlahan berjalan di celah-celah ribuan tikus yang berhimpun untuk
mendapatkan mikrofon yang disediakan di hadapan. Apabila diberikan mikrofon,
professor tikus sambil memegang tongkat terus berkata, “Saya ada idea bagaimana
untuk kita mengatasi masalah serangan kucing gergasi ini. Apa yang berlaku
ialah kita tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyelamatkan diri apabila
diserang oleh kucing tersebut. Kita tidak mempunyai sistem amaran yang memberitahu
kita akan kedatangan kucing tersebut. Sebab itu ramai yang menjadi mangsa, tak
sempat melarikan diri atau bersembunyi.”
Selepas batuk seketika, professor kucing ini menyambung,
“Jadi, saya cadangkan kita memasang sistem amaran untuk membantu kita lebih bersedia
untuk menyelamatkan diri. Kita sepatutnya memasang loceng di leher kucing
tersebut. Dengan adanya loceng itu, kita pasti dapat mendengar kehadiran kucing
tersebut lebih awal, jadi sempatlah untuk kita bersembunyi dan menyelamatkan
diri.” Idea ini disambut baik oleh semua yang hadir di perhimpunan tersebut
termasuklah perdana menteri tikus.
Setelah semua bersetuju dengan idea tersebut, perdana
menteri tikus membuka ruang kepada sesiapa yang ingin menjadi ahli perisik dan
ejen bagi melaksanankan misi memasang loceng tersebut. Sekali lagi pelawaan
perdana menteri tikus itu disambut sepi. Masing-masing kelihatan tidak mahu
menawakan diri melaksanakan misi tersebut. Di sebalik sorakan gempita di awal
tadi, kini Dataran Tikus senyap sepi. Semuanya mula menikus. Maka, dicadangkan
untuk ditangguhkan dahulu perhimpunan tersebut dan kembali semula
membincanglkan hal ini kemudiannya.
Setalah berhari-hari, masih lagi belum ada yang ingin
bertindak melaksanakan misi tersebut. Hari-hari berikutnya juga masih tidak
terlaksana idea tersebut. Dan disebabkan itu, misi tersebut terus tertangguh.
Akibatnya, tikus-tikus tersebut terus menjadi mangsa bahaman kucing gergasi
tersebut kerana loceng yang dicadangkan itu tidak dipasang. Ini kerana
masing-masing tidak mahu dan tidak berani mengambil tindakan melaksanakan idea
tersebut. Negara tikus terus dilanda ketakutan dan kekacauan. Akhirnya, habis
semua tikus di situ menjadi mangsa kucing tersebut termasuklah professor tikus
yang memberi idea tersebut. Kesian.
Pengajarannya ialah kata-kata tanpa tindakan adalah
merugikan. Sebenarnya, kita terlalu banyak berkata-kata dalam hidup tetapi
kurang bertindak. Kita selalu “plan” hidup kita dengan penuh semangat dan
hebat, tetapi apabila bertindak, HAMPEH. Takut, risau, malas, bertangguh,
antara penyakit yang menghalang kita mengambil kuasa bertindak dalam hidup
kita. Ingat, kelajuan tindakan membuatkan hidup kita lebih hebat. Lebih cepat
kita bertindak, lebih cepat kejayaan datang kepada kita. Jadi jika anda sering
tertanya-tanya siapa yang mula dan bila nak mula, jawapannya mudah, “It’s YOU!
It’s NOW!”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment