Tuesday, January 27, 2015
Bersih Hati
Pada suatu petang seorang Datuk Bandar yang bijaksana benama
Abu Rayyan berjalan-jalan melewati sebuah taman permainan kanak-kanak. Abu
Rayyan menyamar dan berpakaian seperti orang kebanyakan untuk melihat suasana
kehidupan penduduk bandar itu.
Kelihatan seorang kanak-kanak sedang bermain
sendirian di hujung taman tersebut. Abu Rayyan mendekati kanak-kanak tersebut
dan bertanya,
“Wahai anak kecil, apa yang kamu sedang lakukan?”
Anak kecil itu mendongak ke arah Abu Rayyan dan berkata,
“Lihatlah, saya sedang buat eksperimen dengan air.”
Abu Rayyan terdiam seketika dan kehairanan. Dia melihat
kanak-kanak itu sedang menuang air yang jernih perlahan-lahan ke dalam sebuah
botol yang berisi air yang keruh.
“Apa maksud kamu wahai anak kecil?” tanya Abu Rayyan sambil
mencangkung di sebelah kanak-kanak kecil itu untuk melihat dengan lebih dekat.
Abu Rayyan melihat air dalam botol itu melimpah-limpah keluar kerana ditambah
dengan air yang jernih dalam kuantiti yang banyak.
Kanak-kanak itu menjawab,”Cuba lihat apa yang berlaku dengan
air yang keruh ni apabila saya tuangkan air yang jernih perlahan-lahan?”
“Sudah tentu ia semakin jernih,” jawab Abu Rayyan dengan
jujur.
“Ya, betul tu. Nampak tak air keruh itu dibersihkan oleh air
yang jernih dengan cara melimpahkan kekeruhan keluar dari botol ini? Pada
asalnya saya cuba membuang kekeruhan dengan cara menapis dan menguis air ini,
tetapi prosesnya amat lambat dan susah untuk air menjadi 100% jernih. Saya
lihat inilah cara paling cepat !” balas kanak-kanak itu dengan riang.
Abu Rayyan tersenyum melihat gelagat anak itu dan berkata,
“Wahai anak kecil. Engkau telah memberi aku suatu pengajaran. Benarlah kata
orang, untuk membersihkan hati yang kotor, manusia perlu membuang kekotoran itu
dengan melimpahkannya keluar.
Cara untuk melimpahkannya keluar adalah dengan
mengisi hati dengan sebanyak-banyak kebaikan iaitu bertaubat bersungguh
sungguh, banyak bersedekah dan beramal. Dengan itu, pasti hati menjadi bersih. Engkau memang anak yang
pintar.”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment