Saturday, January 17, 2015
Monyet dan Ikan
Suatu hari, seekor monyet yang sedang kehausan pergi ke
sebuah kolam untuk minum bagi menghilangkan dahaganya. Ketika dia hendak minum,
tiba-tiba perhatiannya tertumpu pada seekor ikan koi yang sedang berenang di
dalam kolam tersebut. Lalu ia berfikir “Kasihan sekali ikan ini, ia pasti
memerlukan pertolongan.”
Dengan tidak berlengah, si monyet segera menghampiri ikan
tersebut terus mengangkat dan meletakkannya di atas darat. Monyet itu kemudian
berkata dalam hatinya, “Sekarang pasti kamu merasa lebih selamat.” Tidak lama
kemudian, ikan tersebut pun mati. Si monyet kebingungan memikirkan hal ini.
“Bukankah aku telah menolongnya, bukankah ia sekarang telah berada di tempat
yang lebih baik, lalu mengapa ia mati?” Si monyet berkata kepada dirinya
sendiri.
Rasionalnya:
Banyak di antara kita yang bertindak seperti monyet
tersebut, yang menganggap tindakannya mengangkat ikan tersebut ke darat sebagai
tindakan menolong kerana dia melihat dari kaca matanya sendiri yang tidak dapat
berenang. Keadaan ikan yang tercungap-cungap semasa berada di atas darat
semakin menyakinkan dirinya bahawa ikan tersebut sangat memerlukan pertolongan,
kerana dia menganggap ikan tersebut pasti sedang mengalami kesulitan untuk
bernafas.
Jadi, adakah apa yang dilakukan si monyet itu salah? Bukankah
niatnya baik iaitu ingin menolong ikan tersebut? Jika salah, di manakah
salahnya?
Niat si monyet memang baik, namun ia tidak cukup untuk
memperoleh hasil yang baik. Yang salahnya, monyet tersebut tidak memiliki ilmu
untuk memahami hakikat bahawa ikan hidup di dalam air. Oleh itu, pengajarannya
– ilmu adalah penting sebelum melakukan sesuatu tindakan.
Mengapa kita sering kali tidak melihat hakikat sesuatu
peristiwa?
Kebodohan – ini dapat diatasi dengan belajar.
Keegoan – di mana seseorang itu melihat sesuatu
peristiwa/persoalan dari sudut pandangannya sahaja. Lebih teruk lagi, jika
kebijaksanaannya digunakan untuk kepentingan diri dan kroninya sahaja. Jika ini
terjadi, orang tersebut lebih buruk daripada si monyet tadi.
Kesimpulannya, niat baik saja tidak cukup untuk melakukan
sesuatu tindakan, fahamilah hakikat sesuatu peristiwa. Justeru, kita harus
memperbanyakkan informasi dan pengetahuan, serta menghilangkan terlebih dahulu
segala anggapan. Orang bijak pernah berkata, “Memahami hakikat persoalan sama
dengan menyelesaikan separuh daripada persoalan tersebut.”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment