Saturday, June 20, 2015
Surah Al-Mulk - سورة الملك - Part 1
Surah Al Mulk (bahasa Arab:الملك
) adalah surah ke 67 dalam Al-Qur’an. Surah ini tergolong surah ‘makkiyah’ yang
terdiri daripada 30 ayat. Dinamakan Al Mulk kerana kata Al Mulk yang terdapat
pada ayat pertama surah ini. yang bererti ‘Kerajaan’. Surat ini disebut juga
dengan ‘At Tabaarak’ yang bererti Maha Suci.
Surah Al Mulk adalah surah keamanan dan keselamatan, kerana
ia akan menjadi penyelamat dan pendinding dari seksa kubur kepada pembacanya.
Surah Mulk hendaklah dibaca secara istiqamah dengan
menjadikan membacanya amalan kehidupan seharian. Ulama berkata: “Sesungguhnya
Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam tidak akan beradu melainkan setelah
membaca surah As Sajadah dan surah Al Mulk.”
Berikut mari sama-sama kita perhatikan makna surah ini ...
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang
menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu;
Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu)
- untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang
lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha
Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);
Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit
yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha
Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika
engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan - (mu) - dapatkah engkau melihat
sebarang kecacatan?
Kemudian ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya
pandanganmu itu akan berbalik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang
kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan
sia-sia).
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang
dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan
bintang-bintang itu punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan; dan Kami sediakan
bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.
Dan bagi orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhan
mereka, disediakan azab neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat
kembali.
Apabila mereka dicampakkan ke dalamnya, mereka mendengar
suara jeritannya meraung-raung, sedang ia menggelegak.
Hampir-hampir ia pecah berkecai-kecai kerana kuat marahnya.
Tiap-tiap kali dicampakkan ke dalamnya sekumpulan besar (dari orang kafir),
bertanyalah penjaga-penjaga neraka itu kepada mereka: "Tidakkah kamu
pernah didatangi seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran (di dunia
dahulu)?"
Mereka menjawab: "Ada! Sebenarnya telah datang kepada
kami seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, lalu kami dustakan serta kami
katakan (kepadanya): Allah tidak menurunkan sesuatupun, kamu (wahai orang yang
mendakwa menjadi Rasul) hanyalah berada dalam kesesatan yang besar! "
Dan mereka berkata: "Kalaulah kami dahulu mendengar dan
memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk
dalam kalangan ahli neraka".
Akhirnya mereka mengakui dosa-dosa mereka (sebagai
orang-orang yang kufur ingkar), maka tetaplah jauhnya rahmat Allah dari ahli
neraka.
Sesungguhnya orang-orang yang takut (melanggar hukum)
Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab
Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment