Saturday, June 27, 2015
Surah As-Sajadah Part 1
Surat As Sajadah terdiri dari 30 ayat dan ianya termasuk
golongan surat Makkiyah. Diturunkan sesudah surat Al Mu’minuun. Dinamakan As
Sajadah kerana berhubung pada surat ini terdapat ayat sajadah, yaitu ayat yang
kelima belas.
Berikut mari sama-sama kita perhatikan makna surah ini ...
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Alif, Laam Miim.
Diturunkan Al-Quran ini, dengan tidak ada sebarang syak
padanya, dari Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
(Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian)
bahkan mereka mengatakan: "Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Quran
menurut rekaannya". (Dakwaan mereka itu tidaklah benar) bahkan Al-Quran
ialah perkara yang benar dari Tuhanmu (wahai Muhammad), supaya engkau memberi
ingatan dan amaran kepada kaum (mu) yang telah lama tidak didatangi sebarang
pemberi ingatan dan amaran sebelummu, semoga mereka beroleh hidayah petunjuk.
Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala
yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Ia bersemayam di atas
Arasy; kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain
dari Allah; oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk
mencapai keredaanNya)?
Allah mentadbirkan makhluk-makhlukNya; (bagi melaksanakan
tadbirNya itu Ia menurunkan segala sebab dan peraturan) dari langit ke bumi;
kemudian diangkat naik kepada pengetahuanNya (segala yang berlaku dari
perlaksanaan tadbirNya itu untuk dihakimiNya) pada suatu masa yang (dirasai
oleh orang-orang yang bersalah) banyak bilangan tahunnya menurut hitungan masa
kamu yang biasa.
Yang demikian sifatnya ialah Tuhan yang mengetahui
perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata; Yang Maha Kuasa, lagi Maha
Mengasihani;
Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya,
dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah;
Kemudian Ia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis
pati, iaitu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang;
Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan
padanya: roh ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan
penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah
sedikit kamu bersyukur.
Dan mereka (yang kafir) itu berkata: "Adakah apabila
kami telah hilang lenyap dalam tanah, kami pula akan hidup semula dalam bentuk
kejadian yang baharu? Betulkah demikian? " (Mereka bukan sahaja tidak
percaya tentang hidup semula) bahkan mereka tidak percaya tentang pertemuan
dengan Tuhannya.
Katakanlah (wahai Muhammad); "Nyawa kamu akan diambil
oleh Malikil Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu,
kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan)".
Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika
orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka
(dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami
telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami
ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan
amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin".
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment