Saturday, June 27, 2015
Surah As-Sajadah Part 2
(Lalu dikatakan kepada mereka: "Oleh sebab kelalaian
kamu) maka rasalah azab seksa kerana kamu melupai pertemuan hari kamu ini.
Sesungguhnya Kami pun tidak hiraukan keselamatan kamu lagi; dan (dengan yang
demikian) rasalah azab yang kekal dengan sebab apa yang kamu telah
kerjakan".
Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat
keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan
pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud
(menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji
Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.
Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat
tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka
sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya)
serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu
pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.
Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu
persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang
amat indah dipandang dan mengembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh
yang mereka telah kerjakan.
(Jika demikian halnya) maka adakah orang yang beriman sama
seperti orang yang fasik? Mereka tidaklah sama (dalam menerima balasan).
Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka
mereka akan beroleh Syurga tempat tinggal yang tetap sebagai balasan bagi apa
yang mereka telah kerjakan.
Dan sebaliknya orang-orang yang fasik, maka tempat kediaman
mereka ialah neraka; tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu,
mereka dikembalikan kepadanya, serta dikatakan kepada mereka: "Rasalah
azab neraka yang kamu sentiasa mendustakannya di dunia dahulu".
Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit
dari azab dunia sebelum azab yang besar (di akhirat kelak), supaya mereka rujuk
kembali bertaubat.
Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi
ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling daripadanya (dan tetap
mengingkarinya); sesungguhnya Kami tetap membalas.
Dan demi sesungguhnya! Kami telah memberi kepada Nabi Musa
Kitab Taurat (sebagaimana Kami berikan Al-Quran kepadamu wahai Muhammad), maka
janganlah engkau ragu-ragu menyambut dan menerimanya; dan Kami jadikan Kitab
Taurat itu hidayah penunjuk bagi kaum Bani Israil.
Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin,
yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka
bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan
ayat-ayat keterangan Kami.
(Pertentangan di antara satu golongan dengan yang lain itu)
sesungguhnya Tuhanmu sahajalah yang akan memutuskan hukumNya di antara mereka
pada hari kiamat, mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.
Dan belumkah lagi ternyata kepada mereka (yang kafir itu):
bahawa Kami telah binasakan berapa banyak dari kaum-kaum yang kufur ingkar
dahulu daripada mereka, padahal mereka sekarang berulang-alik melalui
tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu? Sesungguhnya kebinasaan kaum-kaum itu
mengandungi keterangan-keterangan (untuk mengambil iktibar); oleh itu tidakkah
mereka mahu mendengar (dan insaf)?
Dan tidakkah mereka (yang tidak mahu taat dan bersyukur) itu
melihat bahawasanya Kami mengarahkan turunnya hujan ke bumi yang kering
kontang, lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman-tanaman, yang
daripadanya dimakan oleh binatang-binatang ternak mereka dan mereka sendiri?
Maka mengapa mereka tidak mahu memerhati (semuanya itu supaya taat dan
bersyukur)?
Dan mereka bertanya: "Bilakah datangnya hari pembukaan
bicara yang dikatakan itu jika betul kamu orang-orang yang benar?"
Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tidak perlu diketahui
masa datangnya tetapi mesti dipercayai bahawa) pada hari pembukaan bicara itu,
tidak ada gunanya lagi kepada orang-orang kafir kiranya mereka hendak beriman,
dan mereka pula tidak akan diberi tempoh (berbuat demikian)".
Oleh itu, janganlah engkau hiraukan mereka, dan tunggulah
(kesudahan mereka), sesungguhnya mereka pun menunggu (kesudahanmu).
Moga diberi kekuatan untuk beramal dengan kandungan Surah
ini ...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment