Thursday, August 27, 2015
Labah-Labah Buncit
Dalam sebuah belukar tinggal seekor labah-labah. Sarangnya
lebih besar daripada sarang labah-labah lain. Dahulu bapanya yang membuat
sarang itu. Kemudian ia menambah di sekeliling sarang itu.
Labah-labah itu berlari dengan pantas dari tengah ke tepi
sarang. Ia menangkap mangsanya. Binatang yang ditangkap segera dimakan.
Badannya semakin hari semakin besar. Perutnya buncit. Ia memang kuat makan.
Perutnya sentiasa berasa lapar.
Pada suatu hari, datang dua ekor labah-labah. Satu dari arah
timur dan satu lagi dari arah barat. Kedua-dua labah-labah mahu menjemput
labah-labah buncit makan kenduri. Kenduri itu diadakan pada waktu yang sama. Ia
menjadi serba salah. Labah-labah buncit bertanya jiran-jirannya.
Mereka juga mendapat jemputan. Jiran di kiri pergi ke
jemputan arah barat. Jiran di kanan pergi ke jemputan arah timur. Labah-labah
buncit mendapat akal. Ia meminta kerjasama jiran-jirannya.
Labah-labah buncit memberi tali kepada jiran-jirannya. Sesiapa
yang makan dahulu tarik tali itu. Ia akan pergi ke sana dahulu. Tali itu
diikatkan pada perutnya supaya tidak terlepas.
Kedua-dua labah-labah itu pun pergi. Apabila jamuan
dihidang, jiran kanan pun menarik tali dari arah timur. Pada masa yang sama
jiran kiri menarik dari arah barat pula. Labah-labah buncit tidak dapat
mengikut ke barat. Ia tidak sempat membuka ikatan perutnya.
Kedua-dua jiran labah-labah buncit terus menarik tali
masing-masing. Perut labah-labah buncit semakin tercerut. Setelah tidak berjaya
menarik, kedua-dua jirannya pun terhenti. Mereka menikmati hidangan. Selepas
makan mereka pun pulang.
Mereka mendapati labah-labah buncit pengsan. Mereka cuba
membuka tali yang tercerut di perut labah-labah buncit. Sayangnya mereka tidak
dapat membuka ikatan itu.
Beberapa hari kemudian labah-labah buncit sedar. Ia berjaya
membuka ikatan di perutnya. Sejak itu ia tidak hiraukan makan. Perutnya tidak
berasa lapar seperti selalu. Pinggangnya pun ramping bekas kene cerut. Hingga
sekarang pinggang labah-labah kecil dan genting.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment