Monday, January 2, 2017
Satu Fikir Di Awal 2017
Beberapa hari yang lepas, seorang sahabat bertanya kepada
saya, ‘Saya sedar bahawa keadaan emosi saya sangat kuat mempengaruhi mindset
saya. Soalnya bagaimana saya perlu mentadbir emosi saya?”
Soalan di atas nampak mudah tetapi bila soalan ini diajukan,
saya terkedu sebentar kerana inilah yang sedang saya alami. Emosi saya sering kacau
sejak kebelakangan ini dan atas sebab itu mindset saya selalu menjadi negatif.
Soalnya bagaimana harus hal ini ditangani?
Langkah Pertama
Sedarlah bahawa keadaan emosi kita itu tidak lain hanyalah lambang
apa yang sedang kita fikirkan atau mindset kita. Dalam kata lain;
Emosi sedih lambang fikiran yang negatif - Payah capai apa yang dihajati.
Emosi gembira lambang fikiran yang positif – Mudah capai apa yang dihajati
Langkah Kedua
Ubahlah apa yang difikirkan kearah yang lebih positif.
Senang bercakap untuk ubah fikiran ke arah yang lebih positif tetapi bagaimana
untuk mengubah fikiran dan bagaimana untuk mengekalkan fikiran ke arah yang
lebih positif tersebut? Caranya ialah dengan menetapkan matlamat untuk diri
sendiri.
Ramai yang mungkin mengeluh bila saya mengutarakan pendapat
ini. Kenapa? Sebab ramai yang gagal menetapkan matlamat tersebut. Persoalannya
mengapa? Inilah ada kerana secara psikologinya, penetapan matlamat dan usaha
untuk mencapai matlamat tersebut memerlukan mereka mengorbankan kebiasaan
mereka. Dalam kata lain, mereka perlu keluar dari zon selesa.
Mereka terperuk dalam zon selesa kerana mereka hanya fokus
kepada apa yang mereka bakal hilang dan tidak fokus kepada apa yang bakal
mereka perolehi seperti mencapai matlamat tersebut, mendapat pengalaman dan
ilmu dari usaha penetapan dan pencapaian matlamat tersebut dan lain-lain lagi.
Langkah Ketiga
Bilamana matlamat telah ditetapkan dan mula diusahakan, maka
ianya akan membantu fikiran menjadi positif dan kekal dalam keadaan positif.
Pada ketika itu, bukankah emosi kita akan jadi gembira? Bila kita gembira,
bukankah itu memudahkan mencapai matlamat? Fikirkan …
Rumusan
Saya mulai sedar tidak perlu saya melayan perasaan saya lagi
kerana ianya akan menyebabkan saya menjadi makin huru hara dalam hidup ini
tetapi saya akan jadikan emosi saya hanya sebagai pedoman untuk memperbaiki
cara fikir saya agar hidup saya terurus dan tidak membuang masa!
Itulah, sebagai resolusi tahun baru ini, saya mahu melihat
tugas baru saya bukan sebagai satu beban (emosi mudah menjadi sedih) tetapi
melihat tugas saya sebagai peluang untuk
belajar dan membangunkan sebuah bisnes (emosi mudah menjadi gembira).
Bukankah ini bakal memudahkan saya mencapai matlamat saya? Anda bagaimana?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment