Saturday, May 27, 2017
Tan Sri Hassan Marican (Part 1)
Dilatih sebagai seorang akauntan, Tan Sri Hassan Marican
menyertai Petronas pada Februari 1989 sebagai naib presiden kanan
kewangan. Beliau pernah bekerja sebagai
pengurus audit di Touche Ross & Company di London (1972–1980) sebelum
pulang ke Malaysia dan bekerja di firma Hanafiah Raslan & Mohamed / Touche Ross & Co (1980–1989).
Beliau adalah fellow di Institute of Chartered Accountants
di England dan Wales serta ahli Institut Akauntan Malaysia.
Ketika di Petronas, beliau berada di bawah bimbingan seorang
lagi tokoh yang begitu disegani Allahyarham Tan Sri Azizan Zainul Abidin. Azizan
dan Hassan menerajui pasukan pengurusan yang mantap dan komited yang
bertanggungjawab ke atas banyak kejayaan Petronas hari ini.
Petronas, yang ditubuhkan pada 1974 untuk menjaga sumber
petroleum negara membuat penerokaan antarabangsa pertamanya pada permulaan era
1990-an, sejajar dengan strategi integrasi perniagaan, tokokan nilai dan
globalisasinya dan sejak itu ia tidak lagi menoleh ke belakang.
Hassan dilantik sebagai presiden dan CEO pada 1995 dan
menyandang jawatan sebagai pemangku pengerusi selepas Azizan meninggal dunia
pada 2004 pada usia 69 tahun. Hassan dikatakan begitu sedih dengan pemergian
Azizan.
Dibantu dengan barisan pengurusan yang mantap, Mohd Hassan
memacu Petronas yang bermula sebagai sebuah syarikat kecil pada tahun 1974
dengan modal RM10 juta untuk memiliki modal pemegang sahamnya berjumlah RM232.1
bilion pada Mac 2009 dan aset bernilai RM388.1 bilion!
Syarikat minyak tempatan itu melalui operasi di seluruh
dunia menjadikannya mampu untuk ‘berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’
dengan syarikat-syarikat gergasi minyak asing.
Konsortium yang disertai Petronas juga terpilih untuk
memajukan dua blok medan minyak terbesar Venezuela selepas baru-baru ini turut
bersama-sama Shell untuk menerokai medan minyak di Iraq diberi nama Majnoon,
sebuah kawasan yang terbesar di dunia yang belum diterokai.
Beliau sememangnya dikagumi. Bukan mudah untuk mengerakkan
Petronas yang mempunyai lebih 30,000 kakitangan kesemuanya bukan hanya di
Malaysia tetapi juga di 30 buah negara dunia. Kejayaan yang dikecapi telah
meletakkan Petronas jauh ke hadapan sekali gus menyerlah kemampuan negara di
mata dunia.
Kekukuhan Petronas kini boleh dilihat seperti teguhnya
berdiri Menara Kembar di ibu kota yang masih mengekalkan gelarannya sebagai
menara kembar tertinggi di dunia.
Berikut adalah petikan temubual dengan Tan Sri ...
S: Tan Sri dikatakan seorang yang kedekut dalam soal
perbelanjaan Petronas. Betul ke?
HASSAN: Ya, saya kedekut. Tapi bukanlah dalam erti kata
kedekut sebenar. Cuma saya tidak suka melihat pembaziran. Kalau nak kena
belanja, walaupun RM10 juta, kalau kita kena belanja dan belanja betul, kita
belanja. Tapi kalau kita nak belanja RM10 tapi tak berfaedah, saya kata tak
perlu. Saya datang dari satu tempat dulu (semasa menjadi rakan firma audit HRM)
kita bagi pen dan pensel free kepada kakitangan buat kerja. Tapi kalau depa mai
nak ambil yang baru, dia kena bawa balik yang sudah habis dipakai. Kalau dia
tak bagi, saya bagi tahu kepada penjaga stor, jangan bagi. Kalau tidak dia akan
membazir. Saya guna amalan ini di Petronas.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment