Saturday, May 27, 2017
Tan Sri Hassan Marican (Part 2)
S:Tan Sri buat macam itu di Petronas?
HASSAN: Falsafahnya sama. Kalau kita nak buat apa-apa sama
ada RM1 atau RM10 atau RM1 juta atau RM10 juta itu bukan relevannya, pertamanya
anda perlu justify (membuktikan) perbelanjaan itu adalah wajar dan membawa
faedah.
Saya mengaku saya kedekut, lagipun ia bukan duit saya, duit
rakyat. Saya di sini hanya sebagai pemegang amanah.
S: Di luar, Tan Sri seorang yang cukup sederhana. Walaupun
antara CEO bergaji paling tinggi di Malaysia, Tan Sri masih tinggal di rumah
biasa berkembar dua, mengapa?
HASSAN: Saya selesa, lagipun ia hanyalah sebuah rumah. Saya
tinggal di Ampang Jaya. Bagi saya ini semua sementara sahaja. Saya beli rumah
itu 20 tahun lalu dengan harga RM240,000, tanah dia besarlah juga. Masa itu
saya di HRM. Arwah bapa saya dan arwah tok wan (datuk) saya selalu mengajar
saya jangan membazir dan jangan hidup menunjuk-nunjuk. Kita hidup sederhana
saja. Ini semua cara saya dibesarkan. Tok wan saya kastam dan bapa saya polis,
bapa saya pun beli rumah teres di Ampang Jaya sebelum dia bersara sebagai
pegawai polis.
S : Betul ke semasa Tan Sri berjawatan ini, Tan Sri pernah
balik kampung di Kedah naik bas?
HASSAN: Ya, saya pernah naik bas balik kampung. Apa
salahnya. Isteri saya pun naik bas ke Singapura. Ini semua atas diri kita.
Kadang-kadang ada orang tegur kerana kita makan di gerai, tapi bagi saya apa
salahnya, bukan kita buat perkara-perkara yang tidak bermoral. Tidak bolehkah
kita jadi orang biasa? Di kampung kalau balik, saya naik Honda Cup pak menakan
(bapa saudara) saya punya, pakai kain dan kemeja-T keliling sampai Semeling
(dekat Merbok, Kedah) (ketawa).
S: Jadi inilah siapa Tan Sri sebenarnya. Kalau macam itu
duit Tan Sri yang banyak itu buat apa?
HASSAN: Apa sahaja kemewahan yang ada, saya letak tepi untuk
pendidikan anak-anak saya. Itu sahajalah yang akan mereka ada, pendidikan. Sama
seperti bapa saya buat, tak ada harta benda apa pun, pelajaran sahaja.
S: Tapi jika mengambil kira itu pun, duit Tan Sri masih
banyak?
HASSAN: Yalah, kita laburlah sikit sana sikit sini (ketawa).
S: Benarkah Tan Sri adalah CEO yang paling tinggi dibayar di
Malaysia?
HASSAN: Persepsi kata Petronas bayar gaji tinggi sebenarnya
tidak benar. Jika dibandingkan dengan kakitangan kerajaan lain, tinggilah
sikit. Malah jika dibandingkan dengan naib-naib presiden saya gaji mereka tidak
ke mana berbanding pegawai-pegawai kanan di bank-bank tempatan.
Kalau ahli lembaga pengarah, dapat RM3,000 sahaja sebulan,
itu pun saya baru naikkan, sebelum ini hanya RM1,000 sebulan sahaja.
Pengerusi Petronas (yang dipegang oleh Allahyarham Tan Sri
Azizan Zainol Abidin) hanya RM5,000 sahaja sebulan.
Saya pernah katakan kepada kakitangan saya, siapa yang
sanggup berkhidmat dengan Petronas ialah jenis orang yang luar biasa. Mereka
ini, terutamanya di peringkat senior mempunyai semangat nasionalisme dalam
darah mereka. Berkhidmat untuk negara. Saya datang dari sektor swasta, ada
orang kata apa sangat masuk kerajaan. Tapi saya kata ini adalah untuk
negara dan saya mendapat kepuasan kerana saya dapat bagi balik kepada negara.
Cabaran hari ini ialah untuk mendapatkan anak-anak muda dalam organisasi ini,
untuk berkongsi dengan jenis orang yang luar biasa itu. Kerana generasi muda
ini, dia semua nak cepat, nak tengok material.
Jika sekarang kita kakitangan dan dinaikkan pangkat sebagai
naib presiden, dia kena berhenti sebagai kakitangan Petronas dan masuk dalam
skim kontrak selama tiga tahun. Apa yang dia nikmati sebagai kakitangan dulu
termasuk faedah-faedah persaraan dalam KWSP dipindahkan ke skim kontrak.
Jumlah kakitangan Petronas, termasuk anak syarikat Malaysia
International Shipping Corporation Berhad (MISC) sekarang 20,000 termasuk luar
negara semua sekali 25,000.
Pada masa yang sama, saya juga ingin menafikan bahawa
Petronas tidak pernah menyiarkan penyata kewangannya. Walaupun, kami bukan
syarikat senaraian awam tetapi kami mengeluarkannya dan menyiarkan dalam laman
web, bahan bercetak yang kemudiannya diagih-agihkan. Petronas diberikan
penarafan kerana ia memudahkan kami membuat pinjaman untuk operasi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment