Saturday, May 27, 2017
Tan Sri Hassan Marican (Part 3)
S: Tan Sri ada jet Petronas, tapi jika menggunakan
penerbangan komersial, adakah Tan Sri turun gred ke kelas perniagaan?
HASSAN: Saya tidak turun gred ke kelas perniagaan, saya
kekal di kelas pertama kerana dua sebab. Pertama, saya boleh sampai ke London
dan terus bekerja, jadi saya nak ambil peluang untuk tidur dalam pesawat,
kedua, kedudukan yang saya bawa. Kalau tidak naik kelas pertama dan naik kelas
perniagaan orang akan perhati dan you adalah CEO Petronas, ini soal imej dan
persepsi orang, itu kena jaga juga.
Tapi jika saya pergi London atas urusan peribadi dan bersama
keluarga, mungkin saya pergi ekonomilah.
S: Tan Sri ini betul-betul kedekutlah?
HASSAN: Kalau nak kata kedekut, kedekutlah. Kita kena bagi
tahu anak-anak kita benda ini susah, bukan dapat mudah, dapat pi London dan
naik kapal terbang itu sudah cukup baik. Ia adalah bagaimana kita membentuk
minda mereka, kalau tidak depa ingat kita dapat senang-senang saja. Anak saya
ada empat orang, dua masih kecil darjah enam dan tingkatan tiga, seorang di
universiti habis tahun depan dan seorang lagi dah kahwin.
S : Kita pernah nampak, Tan Sri bawa bungkusan dalam plastik
ulam dari rumah ke meja makan semasa berbuka puasa dengan para wartawan.
Nampaknya Tan Sri adalah peminat ulam?
HASSAN: Betul, saya suka makan ulam. Ulam raja, pucuk
janggus (gajus), pucuk putat. Saya tanam sendiri, pokok munggai pun ada di
rumah. Di pejabat setiap hari, saya makan nasi bekal. Isteri saya masak dan
dihantar ke pejabat. Kalau saya keluar makan tengah hari, habis banyak masa.
Puas makan makanan dari rumah, ada gulai ikan ka, dan macam-macam lagi,
puaslah. Kerana kadang-kadang kita pun ada macam-macam majlis dan makan malam
yang perlu hadir, jadi tengah hari kita ambil kesempatan makan lauk dari
rumahlah, sambal ikan kering mesti kena ada (ketawa).
S: Bolehkah Petronas menyedut lebih minyak bagi menambah
pendapatan kerajaan?
HASSAN: Dalam usaha melanjutkan hayat simpanan minyak kita
dan berdasarkan polisi syarikat, kita hanya hasilkan 650,000 tong sehari. Dari
segi teknikal, pelantar dan keupayaan simpanan kita, ia direka untuk
mengeluarkan 650,000 ke 700,000 tong sehari.
Kita tidak boleh sewenang-wenang sedut keluar macam buka
pancur air, kerana ia akan memusnahkan telaga simpanan minyak kita. Jika kita
paksa, telaga itu akan musnah. Macam paru-paru, jika ia tembus, anginnya akan
keluar perlahan-lahan, jika kita tekan kuat, ia akan kecut terus. Macam itu
juga telaga minyak di dasar laut.
Maknanya, walaupun ada permintaan supaya disedut lebih, kita
tak boleh buat kerana ia akan memusnahkan telaga minyak itu.
Lebih penting lagi, kita memegang amanah, untuk generasi
akan datang, anak cucu kita boleh tumpang sama.
Nota: Selepas mengundurkan diri dari Petronas kira-kira tujuh
tahun lalu, anak jati Sungai Petani, Kedah itu kini dilantik sebagai Pengerusi
Singapore Power, Pavilion Energy, Pavilion Gas dan Lan Ting Holdings dan ahli
lembaga pengarah Regional Economic Development Authority of Sarawak, Sarawak
Energy, Lambert Energy Advisory dan MH Marican Advisory. Beliau juga adalah
penasihat kanan antarabangsa Temasek.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment