Friday, January 26, 2018
Cerita Pemuda Lepas SPM (Bahagian 1)
Setahun selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),
saya membaca novel Charles Dickens yang berjudul “Kisah Dua Kota” (A Tale of
Two Cities) dan berfikir betapa tepatnya cerita itu menggambarkan keadaan saya
pada waktu itu. Hidup saya selepas SPM penuh dengan detik-detik gembira dan
indah serta marah, keliru, takut dan kesal.
Detik indah dan gembira bermula sebaik sahaja saya habis
menduduki kertas akhir SPM dan meninggalkan bangku sekolah sehinggalah
keputusan SPM diumumkan. Apabila keputusan SPM diumumkan, hidup saya menjadi
kucar-kacir.
Secara jujurnya, saya agak frus selepas peperiksaan SPM
kerana di kalangan rakan-rakan sekolah, saya seorang sahaja yang tidak ada
teman wanita. Rakan-rakan saya selalu ditemani buah hati mereka. Tetapi saya
tidak peduli sangat kerana saya sibuk menguruskan aktiviti-aktiviti lain
termasuk memulakan perniagaan sendiri, membantu di kem-kem belia, bekerja
dengan organisasi bukan kerajaan (NGO). Saya sememangnya berasa penuh berkuasa
sekaligus bodoh, terburu-buru dan spontan, dan penuh impian mahu ‘mengubah
dunia’.
Sewaktu keputusan SPM diumumkan, dunia saya berubah dengan
tiba-tiba. Apa yang melucukan ialah keputusan saya agak baik. Saya mencapai
tujuh A1 dan satu C3. Pada waktu itu, kami hanya dibenarkan mengambil lapan
hingga sembilan mata pelajaran. Saya tidak terkejut dengan keputusan itu tetapi
saudara-mara dan rakan-rakan saya amat terkejut memandangkan saya banyak
menghabiskan masa bermain bola sepak dan melibatkan diri dalam
aktiviti-aktiviti lain.
Yang mereka tidak tahu ialah saya sebenarnya mengulang kaji
pelajaran saya sewaktu rakan-rakan saya keluar mencari buah hati mereka. Walau
bagaimanapun, mendapat keputusan yang baik merumitkan hidup saya. Saya bertekad
tidak mahu melanjutkan pelajaran di universiti tempatan, sebaliknya berimpian
mendapat biasiswa untuk ke luar negeri.
Saya dan rakan-rakan (yang juga merancang untuk meninggalkan
Malaysia untuk mendapatkan pendidikan yang lebih baik di negara asing) memohon
biasiswa yang ditawarkan oleh JPA, Petronas, Renong dan macam-macam lagi.
Seorang demi seorang rakan saya yang mendapat keputusan yang kurang cemerlang
berbanding saya ditawarkan biasiswa ke negara-negara asing. Saya pula
menghadiri satu temu duga lepas satu temu duga, tetapi tidak beroleh sebarang
kejayaan.
Kemudiannya saya sedar saya sememangnya tidak menguasai
kemahiran temu duga. Saya cenderung berbicara dengan jujur semasa ditemu duga
dan ternyata itu bukanlah sesuatu yang ingin didengar oleh penemu duga,
terutamanya impian saya menyeimbangkan hasrat mengubah dunia, bersukan dan
kesibukan hidup sebagai pelajar. Selepas beberapa bulan, saya masih belum
menerima sebarang berita tentang permohonan biasiswa. Akhirnya saya terpaksa
menerima hakikat bahawa saya akan melanjutkan pengajian ke Tingkatan Enam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment