Friday, January 26, 2018
Cerita Pemuda Lepas SPM (Bahagian 2)
Susah sekali untuk saya menerima hakikat ini. Saya melihat
rakan-rakan saya berlepas ke luar negeri atau melanjutkan pengajian di kolej
swasta atau ke kelas persediaan sebelum berlepas ke negara-negara asing yang
eksotik seperti Amerika Syarikat, Australia, Perancis dan United Kingdom. (Bagi
seorang yang setakat ini hanya pernah melancong ke dua tempat saja di luar
Malaysia, mana-mana negara pun adalah eksotik!)
Tetapi saya terpaksa kembali ke Sekolah Lelaki Methodist di
Kuala Lumpur (MBS) untuk meneruskan pelajaran di Tingkatan Enam. Hari-hari yang
indah selepas tamat SPM kini bertukar menjadi hari-hari yang cukup menekankan.
Saya ke sekolah tetapi hati dan jiwa saya cemburu mengenangkan betapa
beruntungnya rakan-rakan yang lain.
Satu-satunya penawar duka adalah setidak-tidaknya dalam
kelas Tingkatan 6 ada pelajar perempuan (tidak seperti sepanjang lima tahun
sebelumnya). Jadi, mungkin ada sedikit harapan untuk memenuhi kekosongan hidup
saya yang setakat ini “tidak ada teman wanita”. Pada masa ini, rakan-rakan saya
sudah putus cinta dengan teman wanita pertama dan sedang menjalin hubungan
dengan teman wanita kedua atau ketiga.
Namun keadaan kasihan diri tidak berlarutan. Guru besar saya
yang cukup tegas dan berdisiplin pernah mengingatkan saya bahawa sebagai
pemimpin pelajar MBS yang mahu mengubah dunia, saya sepatutnya jangan mudah
menjadi mangsa keadaan. Nasihat yang sama juga saya terima daripada bekas
jurulatih bola sepak saya, pemain legenda bola sepak negara, Mokhtar Dahari.
Beliau percaya nasib buruk (dalam hal ini, saya yang
terkandas di MBS!!) berlaku kepada semua orang tetapi cara kita menanganinya
menunjukkan kehebatan seseorang. Menyaksikan Mokhtar Dahari bertarung melawan
penyakit yang kemudian menelan nyawanya memberi semangat kepada saya untuk
meneruskan hidup dan tidak mudah jadi mangsa keadaan.
Dengan semangat baharu, saya berkeputusan menumpukan
beberapa bulan berikutnya untuk mencari jalan yang membolehkan saya ke luar
negeri. Saya tahu bahawa saya mesti
terus mencuba; seperti yang dikatakan oleh Mokhtar Dahari berulang-ulang kali
kepada kami, “Semua perkara memerlukan usaha gigih dan kesabaran.’’ Jadi, saya
pun bekerja keras siang dan malam memohon untuk ke universiti di luar negeri.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment