Friday, January 26, 2018
Cerita Pemuda Lepas SPM (Bahagian 3)
Saya agak terkejut apabila mendapat jawapan daripada banyak
universiti ternama. Harvard, Princeton dan Georgetown menerima saya tetapi
hanya menawarkan biasiswa kecil yang cuma dapat membiayai 25 peratus daripada
yuran saya. Oleh kerana saya tahu ibu bapa saya tidak mungkin dapat menanggung
bakinya (ketika itu saya tidak tahu kerajaan akan membiayainya jika saya dapat
masuk ke universiti utama), saya tidak berhenti memohon kepada
universiti-universiti lain.
Akhirnya, sebuah universiti kecil di Connecticut (tidaklah
terlalu kecil!) menerima permohonan saya dan menawarkan saya biasiswa penuh
yang menampung semua perbelanjaan termasuk makan-minum, tempat tinggal, tuisyen
dan lain-lain. Yang saya perlu sediakan
hanyalah bayaran tiket penerbangan ke sana. Saya masih ingat lagi, surat itu
saya terima pada 18 Disember 1992. Pada 3 Januari 1993, saya menaiki pesawat
(saya bertemu bakal isteri saya yang turut menaiki pesawat yang sama) untuk
melanjutkan pelajaran di Connecticut. Kesabaran dan usaha gigih saya terhasil.
Saya pun bersiap sedia untuk memulakan pengembaraan saya ke tempat baharu lagi
eksotik, New England.
Apabila sampai di Universiti Bridgeport, saya berjumpa
dengan Presiden Universiti (kerana nampaknya saya adalah antara golongan
pelajar yang pertama menerima biasiswa penuh daripada universiti itu). Selepas
itu, saya berjumpa pula dengan penasihat pelajar. Soalan pertamanya “Kenapa
anda memilih universiti ini?’’ mendedahkan bahawa dia ketahui saya memang
mendapat tawaran daripada beberapa universiti yang lebih “baik”. Saya menjawab
soalan itu dengan tenang. Kemudian dia menanya soalan kedua, “Anda ingin
belajar apa?”
Saya terdiam. Saya tidak tahu apa yang saya hendak belajar
atau apakah kerjaya saya nanti. Saya rasa ibu bapa saya mahu saya menjadi
jurutera; yang lain hendak saya menjadi akauntan atau kerjaya yang dapat
membina masa hadapan. Saya menatapi penasihat itu yang bernama Profesor
Greenspan, dan bertanya kepadanya: “Apakah kursus paling mudah yang ditawarkan
yang saya boleh lulus dengan senang?” Dia memandang saya seakan-akan marah
sebelum menjawab dengan sabar:
“Perniagaan. Perniagaan Antarabangsa, senang.” Saya menatapi wajahnya
dan menjawab: “Okay. Saya ambil kursus itu.’’ (Beberapa hari kemudian baharulah
saya sedar bahawa Profesor Greenspan ialah profesor perniagaan dan kerana itu,
dia mencadangkan kursus tersebut.)
Selepas tamat pengajian dan mendapat kerja di General
Electric (GE), saya masih tidak tahu apa yang saya hendak buat. Apabila bos
pertama saya sedar saya kurang mahir dalam bidang kewangan, dia mendesak supaya
saya diberi peranan kewangan semasa saya memulakan kerjaya saya di GE. Beberapa
lama kemudian, saya dilantik menjadi ketua kewangan dan selepas itu sebagai
ketua pegawai kewangan (CFO) di GE. Tetapi pada masa itu pun saya masih tidak
tahu apa yang saya benar-benar mahu capai dalam hidup ini. Akhirnya, selepas
jawatan ketujuh di GE, saya baru sedar apa sebenarnya yang saya benar-benar
mahukan dalam hidup saya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment