.
Renungan
“If today were the last day of my life, would I want to do what I’m about to do today?”


Friday, January 26, 2018

Cerita Pemuda Lepas SPM (Bahagian 4)


Bukanlah senang untuk mencungkil nyala rasa diri.  Steve Jobs, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Apple, tidak tamat kolej serta mengecewakan ibu bapanya kerana tidak tahu apa yang beliau inginkan dalam hidup  dan bagaimana kolej boleh membantunya membina kehidupannya. Pada mulanya Jobs bekerja di Atari untuk menyimpan wang untuk melancong ke India demi mencari nyala rasanya. Di India, beliau menghabiskan masa mengenali persekitarannnya dan Penciptanya dalam usaha mencari “panggilannya”. Apabila Jobs memberi nasihat kepada setiap seorang selepas mereka tamat sekolah tinggi, beliau akan berkata:

“ANDA PERLU BEKERJA SEBAGAI KONDUKTOR BAS ATAU APA SAHAJA SEHINGGA ANDA TEMUI NYALA RASA ANDA. SAYA YAKIN BAHAWA PERBEZAAN BESAR ANTARA USAHAWAN YANG BERJAYA DAN YANG TIDAK ADALAH KECEKALAN. RAMAI ORANG TERBABAS APABILA MENGHARUNGI KESUKARAN. MELAINKAN ANDA SANGAT BERSUNGGUH-SUNGGUH DENGAN APA YANG ANDA IMPIKAN, ANDA TIDAK AKAN BERJAYA. ANDA AKAN PUTUS ASA. JADI, ANDA HARUS MEMPUNYAI SATU IDEA, ATAU SATU MASALAH, ATAU SATU KESALAHAN YANG ANDA BENAR-BENAR MAHU BETULKAN DAN MINATI. JIKA TIDAK, ANDA TIDAK AKAN MEMPUNYAI KETABAHAN UNTUK MELALUINYA. SAYA FIKIR ITU ADALAH SEPARUH DARIPADA PERJUANGAN ANDA.”

Apa yang dikatakan oleh Jobs itu betul. Anda perlu mencari dahulu apa yang anda benar-benar inginkan. Ini perkara penting yang perlu anda lakukan selepas SPM. Selepas anda tahu keinginan ini, anda akan bersemangat untuk menjadi seorang yang hebat.

Kebanyakan lepasan SPM mempunyai pengalaman yang sama seperti saya – tidak tahu sama ada mahu meneruskan pengajian atau tidak, belajar di mana, belajar apa, hendak kerja jadi apa dan apa pilihan kerjaya. Oleh itu, masa selepas SPM (atau sekolah tinggi) adalah batu tanda yang penting dalam hidup.

Bagi kebanyakan lepasan SPM, pilihan adalah ke Tingkatan Enam dan mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau A-Levels dan kemudian menentukan kerjaya yang ingin diceburi. Bagi sesetengah orang, mereka mungkin terpaksa membuat penentuan lebih awal. Namun, kita semua berhadapan dengan masalah kerana kita tidak tahu apa yang kita benar-benar inginkan. Carilah impian anda. Itulah kunci kehidupan selepas SPM.

Usah risau, itu galakan saya kepada anda. Cuba jalan yang berbeza. Saya mengambil beberapa tahun untuk menemui impian saya dan apabila saya menemuinya, saya tidak pernah menoleh ke belakang. Tetapi apabila saya mengimbas kembali, saya memang tidak inginkan masa silam yang berbeza. Setiap pengalaman yang saya lalui, baik yang bagus atau tidak, membantu saya untuk mengenali diri dan memajukan diri. Semua pengalaman ini membantu saya mengenali apa yang saya tidak mahu lakukan dan apa yang saya betul-betul inginkan.

Jadi, nasihat saya ialah bergembiralah selepas SPM. Jangan risau. Teruskan usaha anda untuk mencari dan mengalami. Suatu hari nanti anda akan menemui “passion” anda.


Selamat Maju Jaya!

No comments:

Post a Comment