Sunday, April 22, 2018
Journey To Nowhere – Utara Semenanjung
Sebelum ini, selalu tergerak di hati untuk merasai satu
perjalanan yang tidak di rancang. Satu perjalanan yang arahnya hanya ditentukan
pada saat-saat akhir sahaja. Dalam perjalanan itu, aku akan bermalam di tempat
di mana akhirnya hari itu dalam perjalanan pada hari itu. Aku mahu alami itu
semua kerana aku tidak termahu terikat dengan ruang akiviti dan masa.
Hasrat ini tercapai pada minggu lepas. Aku ajak isteri aku
menemani aku. Syukur, isteri aku setuju dengan cadangan aku itu. Masih aku ingat,
semasa aku mula menghidup enjin kereta pagi itu, destinasi perjalanan itu masih
tidak aku ketahui. Apa yang aku tahu, arah perjalanan itu adalah ke utara
semenanjung.
Apa yang aku rasai ketika itu? Aku rasa gembira, aku rasa
teruja, aku rasa dalam satu pengembaraan. Yang pastinya aku rasa bersemangat
dan bertenaga walhal aku sedar sebelum ini, aku memang sedang berada dalam kemelut perasaan yang sangat tidak bermaya.
Aku tanam niat untuk benar-benar sedut segala pengalaman yang bakal terhidang.
Dan itulah sebenarnya aku lakukan sepanjang 3 hari 2 malam
mengembara ke utara semenanjung. Foto-foto di bawah ini merupakan antara
kenangan dan pengalaman yang aku alami …
Apa yang aku pelajari dari perjalanan ini? Sesungguhnya memang banyak. Apa yang mampu aku
tuliskan disini ialah seperti berikut.
Pertama, jika aku mahu mencari idea
baru, pergilah mengembara sebentar. Tinggalkan persekitaran rutin aku itu
sebentar. Memang mujarab. Kedua, jika mahu pertingkatkan mutu hubungan dengan orang
lain, pergilah mengembara dengan mereka sebentar. Dengan izin Tuhan, hubungan
itu akan makin segar.
Ketiga, aku ambil kesempatan perjalananan ini untuk
memahami, merenung dan mengamal satu konsep hidup seperti rajah di bawah ini. Terus
terang, dapat aku rasakan betapa berkuasa dan mujarab konsep ini kepada
kehidupan.
Terima kasih Allah atas peluang dan ruang untuk alami
perjalanan ini. Moga ada kesempatan lain untuk alami Journey To Nowhere Part 2.
Thursday, April 19, 2018
Wednesday, April 18, 2018
15 Motivasi Kehidupan
1. "Jangan sekali-kali kita meremehkan sesuatu
perbuatan baik walaupun hanya sekadar senyuman."
2. "Dunia ini umpama lautan yang luas. Kita adalah kapal
yang belayar di lautan telah ramai kapal karam didalamnya.. andai muatan kita
adalah iman, dan layarnya takwa, nescaya kita akan selamat dari tersesat di
lautan hidup ini"
3. "Hidup tak
selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
4. "Setiap yang kita lakukan biarlah jujur kerana
kejujuran itu terlalu penting dalam sebuah kehidupan. Tanpa kejujuran hidup
sentiasa menjadi mainan orang"
5. "Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi. Dalam
kemiskinan harta ada kekayaan jiwa. Dalam kesempitan hidup ada kekuasaan
ilmu"
6. "Ikhlaslah menjadi diri sendiri agar hidup penuh
dengan ketenangan dan keamanan. Hidup tanpa pegangan ibarat buih-buih sabun.
Bila-bila masa ia akan pecah"
7. "Kegagalan dalam kemuliaan lebih baik daripada
kejayaan dalam kehinaan. Memberi sedikit dengan ikhlas pula lebih mulia dari
memberi dengan banyak tapi diiringi dengan riak"
8. "Tidak ada
insan suci yang tidak mempunyai masa lampau dan tidak ada insan yang berdosa
yang tidak mempunyai masa depan"
9. "Kata-kata yang lembut dapat melembutkan hati yang
lebih keras dari batu.Tetapi kata-kata yang kasar dapat mengasarkan hati yang
lunak seperti sutera"
10. "Keikhlasan itu umpama seekor semut hitam di atas
batu yang hitam di malam yang amat kelam. Ianya wujud tapi amat sukar
dilihat"
11. "Hidup memerlukan pengorbananan. Pengorbanan
memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan
keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan
kebahagiaan."
12. "Kita sentiasa muda untuk melakukan dosa tetapi
tidak pernah tua untuk bertaubat"
13. "Gantungkan
azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah
mutiara di lautan"
14. "Setiap mata
yang tertutup belum bererti ia tidur. Setiap mata terbuka belum bererti ia
melihat"
15. "Jadikan
dirimu bagai pohon yang rendang di mana insan dapat berteduh."
Andai Masa Boleh Dibeli
Di sebuah negeri, ada seorang anak yang hidup dalam sebuah
keluarga bahagia. Tetapi dia tidak pernah mensyukuri kebahagiaan hidupnya itu.
Dia sering mengganggu dan menimbulkan kemarahan orang lain.
Salah satu sifat buruknya ialah menganggap remeh sesuatu
perkara dan suka bertangguh. Apabila disuruh meminta maaf atas perlakuan
buruknya kepada orang lain, anak itu selalu berkata, "Ahh.. tidak mengapa,
esok lusa boleh minta maaf."
Setelah umurnya meningkat, anak ini mula bersekolah. Dia
bahagia apabila mendapat ramai kawan di sekolah. Tetapi dia tidak pernah
mensyukuri kebahagiaan itu. Dia menganggap semua itu adalah perkara biasa yang
sewajarnya diperolehinya.
Suatu hari, dia berkelahi dengan teman baiknya. Walaupun dia
tahu perbuatan itu salah, tetapi anak ini tidak pernah mengambil inisiatif
untuk meminta maaf dan berbaik-baik semula dengan teman baiknya itu. Alasan
yang sering diberikannya ialah, "Ahh.. tidak mengapa, esok lusa boleh
minta maaf."
Bagaimanapun, sekali sekala dia rindukan teman-temannya.
Namun dia tidak pernah menghubungi mereka atau sering lewat membalas panggilan
teman-temannya itu.
Dia selalu berkata, "Ahh.. aku letih, besok sahajalah
aku hubungi mereka." Keadaan ini sebenarnya tidak mengganggu hidupnya
kerana dia masih mempunyai rakan-rakan sepejabat yang boleh diajak keluar dan
berhibur. Waktu pun berlalu, dia lupa sama sekali untuk menelefon
teman-temannya.
Setelah dia berkahwin dan mempunyai anak, dia terus bekerja
keras untuk membahagiakan keluarganya. Dia tidak pernah lagi membeli bunga
untuk isterinya., ataupun mengingat hari ulang tahun isteri dan juga hari
perkahwinan mereka.
Kadang-kadang dia berasa bersalah dan ingin menyatakan
kepada isterinya "Aku Cintakan Kamu," tapi dia tidak pernah
melakukannya. Alasannya, "tidak apa... esok lusa pasti aku
menyatakan."
Dia juga tidak pernah sempat meraikan pesta hari jadi
anak-anaknya. Anak-anak mula menjauhinya. Suatu hari, berlaku kemalangan dan
isterinya cedera parah. Waktu itu dia sedang bermesyuarat. Ketika sampai di
hospital, isterinya sedang bertarung dengan maut.
Sebelum sempat dia berkata, "Aku Cintakan Kamu,"
isterinya menghembuskan nafas terakhir. Remuk hatinya dan dia mula mendekati
anak-anaknya. Tetapi baharu disedarinya, anak-anaknya tidak mahu berkomunikasi
dengannya.
Anak-anaknya kini sudah dewasa dan mempunyai kehidupan dan
keluarga sendiri. Tidak ada yang mempedulikannya lagi kerana sebelum ini dia
sendiri tidak pernah mempunyai masa untuk anak-anak.
Dia pindah ke rumah jagaan orang tua yang menyediakan
layanan baik dengan wang simpanannya. Wang itu sebenarnya hendak digunakan
untuk bercuti ke tempat-tempat menarik di luar negara selepas persaraannya.
Tetapi semua wang itu kini terpaksa digunakan untuk
pembiayaannya di rumah jagaan orang tua itu. Sejak itu sehingga dia meninggal,
hanya ada orang tua dan jururawat yang menjaganya.
Dia kini merasa sangat kesepian, perasaan yang tidak pernah
dirasakan sebelum ini. Ketika di saat akhir nyawanya dia memanggil jururawat
dan berkata, "jika waktu boleh kubeli, aku rela menukarkan semua hartaku
untuk mendapatkannya, walaupun hanya beberapa saat sahaja."
Tetapi sayangnya semua sudah terlambat. Dan dia meninggal
dengan linangan air mata dipipinya.
Dimana Ada Kemahuan, Disitu Ada Jalan.
Suatu masa dahulu, ada seorang raja bernama Bruch. Sudah
enam kali baginda memimpin pasukan tenteranya menentang musuh, namun setiap
kali bertempur, pasukannya tewas. Baginda terpaksa melarikan diri ke dalam
hutan. Baginda sendiri terpaksa bersembunyi di sebuah pondok buruk di dalam
hutan itu. Suatu hari ketika sedang tidur, hujan lebat melanda hutan itu. Air
hujan mengalir dari atap pondok yang bocor dan menitis ke atas mukanya.
Raja ini terbangun dari tidurnya. Ketika itu dia segera
terkenang nasib malangnya yang gagal dalam setiap pertempuran walaupun bala
tenteranya telah mencuba sedaya upaya untuk mengalahkan musuh. Semakin baginda
memikirkan hal ini, hatinya semakin pedih dan hampir putus asa. Baginda
mendongak dan secara tiba-tiba terpandang seekor labah-labah sedang bekerja
keras mengait sarangnya di atas kayu alang kepala tempat baginda tidur itu.
Bruch memerhati dengan tekun gerak-geri labah-labah itu.
Baginda menghitung sudah enam kali labah-labah itu cuba menyambung salah satu
hujung 'benang' ke kayu yang berada di seberangnya. Walaupun labah-labah itu
mencuba dengan sedaya upayanya, benang itu gagal disambung ke kayu berkenaan.
Setiap kali benang itu cuba dikaitkan ke kayu tersebut, ia terputus.
"Kasihan sungguh makhluk kecil ini" kata Bruch.
"Sepatutnya kamu menyerah sahaja!"
Baginda merasakan tidak ada harapan sedikitpun bagi
labah-labah itu mengaitkan benang tersebut ke kayu berkenaan. Tetapi, di luar
jangkaannya, walaupun sudah enam kali gagal dalam percubaannya mengaitkan hujung
benang tersebut, labah-labah itu tidak pernah putus asa atau berhenti mencuba.
Dengan sisa-sisa tenaga yang ada, labah-labah itu mencuba
lagi untuk kali ketujuh dan kali ini dia berjaya! Melihat keadaan itu, Bruch
kagum dengan semangat labah-labah itu dan lupa kepada nasib dirinya. Baginda
berdiri dan menarik nafas panjang. Lalu, dengan lantang berteriak, "Aku
juga akan bertempur lagi untuk kali yang ketujuh!"
Bruch akhirnya benar-benar mendapat kembali semangatnya. Dia
segera mengumpul dan melatih bala tenteranya yang masih ada. Tanpa membuang
masa, baginda mengatur strategi dan menggempur lagi pertahanan musuh. Dengan
segala daya upaya dan semangat kental serta perjuangan yang tidak pernah
menyerah kalah, akhirnya baginda berjaya menewaskan pasukan musuh dan berjaya
merampas kembali negaranya.
Moral:
Jangan mudah menyerah kepada keadaan. Apabila kita terus
berusaha, tidak ada suatu perkara pun yang mustahil kita peroleh. DI MANA ADA
KEMAHUAN, DI SITU ADA JALAN.
Ilmu lebih manfaat jika dikongsi
Abu dan Baba ialah dua orang pemancing hebat yang sering
mendapat banyak ikan setiap kali memancing. Pernah satu ketika, ketika
kedua-duanya sedang memancing, datang 10 pemancing lain memancing berdekatan
mereka. Seperti biasa, mereka mendapat ikan yang cukup banyak, sedangkan 10
pemancing tadi hanya melihat dengan cemburu dan mampu menggigit jari sahaja
kerana tidak mendapat seekor ikan pun.
Kesemua 10 pemancing itu kemudiannya ingin belajar daripada
mereka rahsia dan teknik memancing yang baik. Tetapi abu nampak seperti kurang
senang dengan permintaan pemancing-pemancing itu. Sebaliknya Baba menunjukkan
sikap berbeza. Dia bersedia menjelaskan teknik dan rahsia memancing kepada 10
pemancing tersebut dengan satu syarat.
Kesemua pemancing itu mesti memberikannya seekor ikan jika
mereka berjaya mendapat 10 ekor ikan. Tetapi jika kurang daripada 10 ekor ikan,
mereka tidak perlu memberinya apa-apa. Setelah syarat itu dipersetujui, Baba
mengajar mereka teknik dan rahsia terbaik memancing. Tidak sampai 2 jam, kebanyakan
pemancing-pemancing itu mendapat sekurang-kurangnya sebakul ikan.
Secara tidak langsung, Baba juga mendapat keuntungan
daripada kejayaan pemancing-pemancing itu menaikkan banyak ikan. Selain
mendapat 'bonus' ikan daripada pemancing yang dibimbingnya, Baba juga mendapat
10 orang kawan baru. Sementara rakannya Abu yang agak kedekut ilmu, tidak
mendapat keuntungan sebesar keuntungan Baba yang pemurah dan tidak lokek ilmu
untuk dikongsi dengan orang lain.
Moral:
Kisah di atas menunjukkan bahawa ilmu pengetahuan akan lebih
bermanfaat jika diamalkan dan dikongsi bersama. Tindakan itu selain menjadikan
kita lebih menguasai ilmu, juga mendapat keuntungan daripada segi kewangan,
hubungan sosial dan lain-lain.
"Jika anda membantu lebih ramai orang untuk mencapai
impiannya, impian anda juga akan tercapai." kata Zig Ziglar, seorang pakar
motivasi terkenal Amerika Syarikat.
Bentuk bantuan tidak semestinya wang ringgit, ilmu dan
sebagainya. Tetapi juga dalam bentuk kasih sayang, perihatin, kejujuran,
motivasi, bimbingan dan sebagainya yang termampu diberikan. Kebiasaan berkongsi
seperti itu selain memudahkan kita memperluas jalinan hubungan sosial, juga
dapat membangunkan keyakinan diri kerana merasa kehidupan kita lebih bererti.
Kegagalan Kerana Malas Belajar
Pada suatu hari, ada seorang tua yang sekian lama bertapa di
dalam sebuah gua ingin membina sebuah rumah. Selama ini, dia hidup dalam sebuah
gua yang kecil. Perkara pertama yang dilakukannya ialah turun ke kaki gunung
untuk membeli alat pemotong kayu di kedai peralatan di pekan terdekat.
"Saya ingin pindah dari gua dan membina rumah sendiri
dari kayu," katanya dengan bangga kepada pemilik kedai tersebut. Lalu dia
menyambung, "Jadi saya perlu alat pemotong kayu yang paling baik, tiada
masalah berapa pun harganya."
Pemilik kedai itu segera menuju ke gudang penyimpanan barang
dan kembalai dengan sebuah mesen gergaji yang nampak kuat dan berkilat.
"Ini alat pemotong yang terbaik di pasaran," kata pekedai itu.
"Dengan alat ini awak mampu menebang kayu seperti pisau
memotong mentega. Saya jamin dengan alat pemotong kayu ini, pekerjaan memotong
dan menebang kayu yang memakan waktu sebulan, boleh diselesaikan dalam satu
hari sahaja. Jika tidak, saya kembalikan wang," ujarnya lagi.
Orang tua itu sangat tertarik dengan penjelasan pemilik
kedai peralatan itu tadi. Lalu dia membeli gergaji tersebut dan kembali semula
ke gua tempat dia bertapa.
Sebulan kemudian, ketika pekedai itu sibuk menguruskan
kedai, dia mendengar suara teriakan orang tua itu, "Hai orang muda, saya
datang untuk memulangkan alat pemotong kayu ini. Tolong kembalikan wang saya
seperti yang awak janjikan dahulu."
Pemilik kedai itu memandang wajah orang tua tadi. Dia
terkejut melihat penampilan orang tua itu yang tidak terurus. Orang tua itu
kelihatan seperti tidak tidur berminggu-minggu. Kelihatan bekas tompok-tompok
darah dan peluh pada pakaiannya. Nampak seperti dia bekerja keras setengah
mati.
"Apa sudah jadi dengan pak cik? Wajah pak cik kelihatan
cengkung dan tidak bermaya," tanya pekedai itu terkejut.
Dengan sisa-sisa kekuatan yang ada padanya, orang tua itu
mengangkat mesin gergaji itu ke atas meja. Sambil merungut-rungut, dia berkata,
"Alat pemotong kayu apa yang kau jual ni?
"Kau kata alat ini mampu menebang pokok dalam sehari
sahaja. Saya sudah gunakan alat pemotong ini selama 30 hari, tetapi kerja saya
belum selesai juga. Seperti yang engkau janjikan, tolong pulangkan wang
saya."
Pekedai itu hairan dan meminta maaf sambil berkata,
"Tentu!!! janji harus ditepati. Tetapi biar saya periksa dahulu alat ini.
Mungkin ada yang tidak kena." Lalu pekedai itu menarik tali yang ada pada
gergaji dan mesin itu berbunyi, "brrrrr!!!"
Disebabkan terkejut dengan bunyi enjin yang kuat itu, orang
tua itu terpelanting ke belakang meja. Dia merasakan seolah-olah bunyi peluru
yang keluar dari mesin itu. Lalu dia berteriak kepada pekedai itu, "bunyi
apakah itu???"
Moral
Seringkali kegagalan bukan disebabkan kurangnya kemampuan
atau usaha kita melakukan sesuatu. Kadang-kadang kegagalan disebabkan
sedikitnya pengetahuan yang kita miliki. Kita telah menjadi orang yang sangat
tidak mahu belajar sesuatu.
Pandangan Positif Terhadap Kehidupan
Ada seorang lelaki tua yang hidup sederhana di sebuah
kampung. Pada suatu hari dia melihat pokok betik di hadapan rumahnya telah
berbuah dua biji dan sedang masak menguning. Buah-buah betik itu sudah sedia
untuk dipetik. Lelaki tua itu bercadang untuk memetik buah itu keesokan
harinya. Bagaimananpun, pagi esoknya dia mendapati sebiji daripada buah betik
itu hilang dicuri orang.
Lelaki tua itu begitu sedih melihat keadaan itu sehingga
menimbulkan rasa hairan kepada isterinya.
"Takkanlah hanya kerana sebiji betik hilang, abang
bersedih sedemikian rupa?" ujar isterinya.
"Bukan itu yang abang sedihkan," jawab lelaki tua
itu.
"Abang sedang memikirkan bagaimana sukarnya pencuri
untuk mengambil buah betik ketika itu. Dia perlu datang senyap-senyap di tengah
malam agar tidak diketahui orang"
"Itu belum lagi usaha untuk memanjatnya. Pokok betik
itu tinggi dan buahnya jauh di atas. Tentu pencuri itu terpaksa bekerja keras
untuk memetik buah betik itu," ujarnya.
Sehubungan itu, kata lelaki tua berkenaan, dia akan
meletakkan tangga di bawah pokok betik itu supaya apabila pencuri itu datang
semula malam nanti, dia tidak perlu bersusah payah lagi untuk mengambil baki
sebiji lagi buah betik itu.
Bagaimanapun, ketika bangun tidur pagi esoknya, lelaki tua
itu mendapati buah betik yang berbaki sebiji itu masih ada dan tangga pada
batang pokok betik itu juga seperti tidak terusik. Lelaki itu cuba bersabar dan
berharap pencuri tersebut akan datang lagi pada sebelah malam nanti. Tetapi
apabila menjelang pagi, dia mendapati buah betik itu masih ada di tempatnya.
Pada sebelah petangnya lelaki tua itu dikunjungi seorang
tetamu yang membawa dua biji buah betik besar ditangannya. Dia belum pernah
melihat tetamu itu sebelum ini. Setelah berbual-bual, tetamu itu dengan kesal
bahawa dialah yang mencuri buah betik lelaki itu.
"Sebenarnya" kata tetamu itu,
"Pada malam berikutnya, saya ingin mencuri baki sebiji
lagi buah betik itu. Tetapi apabila saya menemukan tangga di pokok betik itu,
saya sedar dan insaf. Sejak itu saya bertekad tidak akan mencuri lagi.
"Oleh itu, saya pulangkan betik tersebut dan sebagai
menebus kesalahan, saya hadiahkan sebiji lagi buah betik yang saya beli di
pasar untuk tuan," katanya.
RENUNGAN:
Hikmah yang boleh diambil daripada kisah tersebut ialah
tentang keikhlasan, kesabaran, kebajikan dan pandangan positif terhadap
kehidupan.
Mampukah kita bersikap positif ketika kita kehilangan
sesuatu yang amat disayangi. Mampukah kita bersikap ikhlas dengan mencari sisi
baiknya dan melupakan sakitnya sesuatu 'musibah'.
"Sesungguhnya manusia itu sangat ingkar, tidak
berterima kasih kepada Tuhannya dan sesungguhnya manusia itu menyaksikan
(sendiri) keingkarannya dan sesungguhnya dia sangat bakhil kerana cintanya
kepada hartanya."
Berbuat Baiklah Dengan Semua Orang
Bertahun-tahun lalu, pada suatu malam hujan lebat, seorang
lelaki tua dan isterinya masuk ke sebuah lobi hotel di Philadelphia. Mereka
cuba mencari tempat berteduh daripada hujan lebat ketika itu. Pasangan ini
mendekati meja penyambut tetamu untuk bertanyakan bilik di hotel itu.
"Dapatkah anda memberikan kami sebuah bilik di
sini?" tanya si suami.
Penyambut tetamu itu, seorang lelaki yang ramah dengan
senyuman memandang pasangan itu dan menjelaskan bahawa ada tiga persidangan
besar sedang berlangsung di bandar itu.
"Semua bilik kami telah penuh," kata penyambut
tetamu itu.
"Tetapi saya tidak akan membiarkan pasangan yang baik
seperti anda keluar kehujanan pada pukul satu dinihari. Mungkin anda mahu tidur
di bilik saya?
"Tidak terlalu bagus, tetapi cukup untuk membuat anda
tidur dengan selesa malam ini."
Ketika pasangan itu kelihatan ragu-ragu, penyambut tetamu
itu memujuk, "Jangan khuatir tentang saya. Saya baik-baik sahaja,"
kata penyambut tetamu itu. Akhirnya pasangan itu bersetuju.
Pagi itu ketika mahu keluar dari hotel, lelaki tua itu
berkata kepada penyambut tetamu, "Anda seperti seorang pengurus yang baik
dan seharusnya menjadi pemilik hotel terbaik di Amerika. Mungkin suatu hari
nanti saya akan membina sebuah hotel untuk anda."
Penyambut tetamu itu memandang ke arah mereka dan tersenyum.
Mereka bertiga tertawa. Ketika pasangan ini dalam perjalanan, mereka sependapat
bahawa penyambut tetamu itu seorang yang sangat membantu dan sukar untuk
mencari orang sebaik itu.
Dua tahun kemudian, disaat penyambut tetamu tadi hampir lupa
tentang kejadian itu, dia telah menerima surat daripada lelaki tua tersebut.
Surat itu telah mengingatkan dia semula kejadian pada malam hujan lebat dua
tahun lalu.Di dalam surat itu juga disertakan tiket penerbangan pergi balik ke
New York. Lelaki tua itu meminta penyambut tetamu itu untuk datang
mengunjunginya.
Kemudian, lelaki tua itu berjumpa dengan penyambut tetamu
tadi di suatu jalan di kota besar itu dan
menunjukkan sebuah bangunan baharu yang berdiri megah di situu.
"Itu," kata lelaki tua itu, "adalah hotel
yang baharu sahaja saya bina untuk kamu uruskan."
"Kamu pasti bergurau," jawab si penyambut tetamu
tadi.
"Saya jamin yang saya tidak bergurau," kata leaki
tua itu dengan tersenyum lebar.
Nama lelaki tua itu ialah William Waldorf Astor, dan
bangunan megah tersebut adalah bentuk asal hotel Waldorf-Astoria.
Penyambut tetamu yang kemudian menjadi pengurus pertama
adalah George Charlse Boldt. Dia tidak akan melupakan kejadian yang membawanya
menjadi pengurus salah satu jaringan hotel paling berprestij di dunia.
Pantun Pembangunan Bangsa
Rumah kecil tiang seribu
Rumah besar tiang sebatang
Kecil – kecil ditimang ibu
Sudah besar ditimang gelombang
Jika dilurut padi masak
Jatuh ke tanah berderai-derai
Kalau takut dilambung ombak
Jangan berumah di tepi pantai.
Terbitlah fajar menjelang subuh
Murai berkicau terang cuaca
Kalau tanaman sudi
tumbuh
Masakan bumi tidak terima.
Buat bangsal di Pulau Daik
Menahan taut sambil mengilau
Kalau asal benih yang baik
Jatuh ke laut menjadi pulau.
Orang Jawa menanam
kapas
Orang Eropah menanam anggur
Jangan ketawa pelepah di atas
Melihat pelepah bawah yang gugur
Anak rusa lari ke pekan
Mati ditembak datuk penghulu
Tiada kuasa menangkap dahan
Menangkap ranting cuba dahulu
Subscribe to:
Posts (Atom)