Wednesday, April 18, 2018
Andai Masa Boleh Dibeli
Di sebuah negeri, ada seorang anak yang hidup dalam sebuah
keluarga bahagia. Tetapi dia tidak pernah mensyukuri kebahagiaan hidupnya itu.
Dia sering mengganggu dan menimbulkan kemarahan orang lain.
Salah satu sifat buruknya ialah menganggap remeh sesuatu
perkara dan suka bertangguh. Apabila disuruh meminta maaf atas perlakuan
buruknya kepada orang lain, anak itu selalu berkata, "Ahh.. tidak mengapa,
esok lusa boleh minta maaf."
Setelah umurnya meningkat, anak ini mula bersekolah. Dia
bahagia apabila mendapat ramai kawan di sekolah. Tetapi dia tidak pernah
mensyukuri kebahagiaan itu. Dia menganggap semua itu adalah perkara biasa yang
sewajarnya diperolehinya.
Suatu hari, dia berkelahi dengan teman baiknya. Walaupun dia
tahu perbuatan itu salah, tetapi anak ini tidak pernah mengambil inisiatif
untuk meminta maaf dan berbaik-baik semula dengan teman baiknya itu. Alasan
yang sering diberikannya ialah, "Ahh.. tidak mengapa, esok lusa boleh
minta maaf."
Bagaimanapun, sekali sekala dia rindukan teman-temannya.
Namun dia tidak pernah menghubungi mereka atau sering lewat membalas panggilan
teman-temannya itu.
Dia selalu berkata, "Ahh.. aku letih, besok sahajalah
aku hubungi mereka." Keadaan ini sebenarnya tidak mengganggu hidupnya
kerana dia masih mempunyai rakan-rakan sepejabat yang boleh diajak keluar dan
berhibur. Waktu pun berlalu, dia lupa sama sekali untuk menelefon
teman-temannya.
Setelah dia berkahwin dan mempunyai anak, dia terus bekerja
keras untuk membahagiakan keluarganya. Dia tidak pernah lagi membeli bunga
untuk isterinya., ataupun mengingat hari ulang tahun isteri dan juga hari
perkahwinan mereka.
Kadang-kadang dia berasa bersalah dan ingin menyatakan
kepada isterinya "Aku Cintakan Kamu," tapi dia tidak pernah
melakukannya. Alasannya, "tidak apa... esok lusa pasti aku
menyatakan."
Dia juga tidak pernah sempat meraikan pesta hari jadi
anak-anaknya. Anak-anak mula menjauhinya. Suatu hari, berlaku kemalangan dan
isterinya cedera parah. Waktu itu dia sedang bermesyuarat. Ketika sampai di
hospital, isterinya sedang bertarung dengan maut.
Sebelum sempat dia berkata, "Aku Cintakan Kamu,"
isterinya menghembuskan nafas terakhir. Remuk hatinya dan dia mula mendekati
anak-anaknya. Tetapi baharu disedarinya, anak-anaknya tidak mahu berkomunikasi
dengannya.
Anak-anaknya kini sudah dewasa dan mempunyai kehidupan dan
keluarga sendiri. Tidak ada yang mempedulikannya lagi kerana sebelum ini dia
sendiri tidak pernah mempunyai masa untuk anak-anak.
Dia pindah ke rumah jagaan orang tua yang menyediakan
layanan baik dengan wang simpanannya. Wang itu sebenarnya hendak digunakan
untuk bercuti ke tempat-tempat menarik di luar negara selepas persaraannya.
Tetapi semua wang itu kini terpaksa digunakan untuk
pembiayaannya di rumah jagaan orang tua itu. Sejak itu sehingga dia meninggal,
hanya ada orang tua dan jururawat yang menjaganya.
Dia kini merasa sangat kesepian, perasaan yang tidak pernah
dirasakan sebelum ini. Ketika di saat akhir nyawanya dia memanggil jururawat
dan berkata, "jika waktu boleh kubeli, aku rela menukarkan semua hartaku
untuk mendapatkannya, walaupun hanya beberapa saat sahaja."
Tetapi sayangnya semua sudah terlambat. Dan dia meninggal
dengan linangan air mata dipipinya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment