Wednesday, April 18, 2018
Dimana Ada Kemahuan, Disitu Ada Jalan.
Suatu masa dahulu, ada seorang raja bernama Bruch. Sudah
enam kali baginda memimpin pasukan tenteranya menentang musuh, namun setiap
kali bertempur, pasukannya tewas. Baginda terpaksa melarikan diri ke dalam
hutan. Baginda sendiri terpaksa bersembunyi di sebuah pondok buruk di dalam
hutan itu. Suatu hari ketika sedang tidur, hujan lebat melanda hutan itu. Air
hujan mengalir dari atap pondok yang bocor dan menitis ke atas mukanya.
Raja ini terbangun dari tidurnya. Ketika itu dia segera
terkenang nasib malangnya yang gagal dalam setiap pertempuran walaupun bala
tenteranya telah mencuba sedaya upaya untuk mengalahkan musuh. Semakin baginda
memikirkan hal ini, hatinya semakin pedih dan hampir putus asa. Baginda
mendongak dan secara tiba-tiba terpandang seekor labah-labah sedang bekerja
keras mengait sarangnya di atas kayu alang kepala tempat baginda tidur itu.
Bruch memerhati dengan tekun gerak-geri labah-labah itu.
Baginda menghitung sudah enam kali labah-labah itu cuba menyambung salah satu
hujung 'benang' ke kayu yang berada di seberangnya. Walaupun labah-labah itu
mencuba dengan sedaya upayanya, benang itu gagal disambung ke kayu berkenaan.
Setiap kali benang itu cuba dikaitkan ke kayu tersebut, ia terputus.
"Kasihan sungguh makhluk kecil ini" kata Bruch.
"Sepatutnya kamu menyerah sahaja!"
Baginda merasakan tidak ada harapan sedikitpun bagi
labah-labah itu mengaitkan benang tersebut ke kayu berkenaan. Tetapi, di luar
jangkaannya, walaupun sudah enam kali gagal dalam percubaannya mengaitkan hujung
benang tersebut, labah-labah itu tidak pernah putus asa atau berhenti mencuba.
Dengan sisa-sisa tenaga yang ada, labah-labah itu mencuba
lagi untuk kali ketujuh dan kali ini dia berjaya! Melihat keadaan itu, Bruch
kagum dengan semangat labah-labah itu dan lupa kepada nasib dirinya. Baginda
berdiri dan menarik nafas panjang. Lalu, dengan lantang berteriak, "Aku
juga akan bertempur lagi untuk kali yang ketujuh!"
Bruch akhirnya benar-benar mendapat kembali semangatnya. Dia
segera mengumpul dan melatih bala tenteranya yang masih ada. Tanpa membuang
masa, baginda mengatur strategi dan menggempur lagi pertahanan musuh. Dengan
segala daya upaya dan semangat kental serta perjuangan yang tidak pernah
menyerah kalah, akhirnya baginda berjaya menewaskan pasukan musuh dan berjaya
merampas kembali negaranya.
Moral:
Jangan mudah menyerah kepada keadaan. Apabila kita terus
berusaha, tidak ada suatu perkara pun yang mustahil kita peroleh. DI MANA ADA
KEMAHUAN, DI SITU ADA JALAN.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment