Wednesday, April 18, 2018
Ilmu lebih manfaat jika dikongsi
Abu dan Baba ialah dua orang pemancing hebat yang sering
mendapat banyak ikan setiap kali memancing. Pernah satu ketika, ketika
kedua-duanya sedang memancing, datang 10 pemancing lain memancing berdekatan
mereka. Seperti biasa, mereka mendapat ikan yang cukup banyak, sedangkan 10
pemancing tadi hanya melihat dengan cemburu dan mampu menggigit jari sahaja
kerana tidak mendapat seekor ikan pun.
Kesemua 10 pemancing itu kemudiannya ingin belajar daripada
mereka rahsia dan teknik memancing yang baik. Tetapi abu nampak seperti kurang
senang dengan permintaan pemancing-pemancing itu. Sebaliknya Baba menunjukkan
sikap berbeza. Dia bersedia menjelaskan teknik dan rahsia memancing kepada 10
pemancing tersebut dengan satu syarat.
Kesemua pemancing itu mesti memberikannya seekor ikan jika
mereka berjaya mendapat 10 ekor ikan. Tetapi jika kurang daripada 10 ekor ikan,
mereka tidak perlu memberinya apa-apa. Setelah syarat itu dipersetujui, Baba
mengajar mereka teknik dan rahsia terbaik memancing. Tidak sampai 2 jam, kebanyakan
pemancing-pemancing itu mendapat sekurang-kurangnya sebakul ikan.
Secara tidak langsung, Baba juga mendapat keuntungan
daripada kejayaan pemancing-pemancing itu menaikkan banyak ikan. Selain
mendapat 'bonus' ikan daripada pemancing yang dibimbingnya, Baba juga mendapat
10 orang kawan baru. Sementara rakannya Abu yang agak kedekut ilmu, tidak
mendapat keuntungan sebesar keuntungan Baba yang pemurah dan tidak lokek ilmu
untuk dikongsi dengan orang lain.
Moral:
Kisah di atas menunjukkan bahawa ilmu pengetahuan akan lebih
bermanfaat jika diamalkan dan dikongsi bersama. Tindakan itu selain menjadikan
kita lebih menguasai ilmu, juga mendapat keuntungan daripada segi kewangan,
hubungan sosial dan lain-lain.
"Jika anda membantu lebih ramai orang untuk mencapai
impiannya, impian anda juga akan tercapai." kata Zig Ziglar, seorang pakar
motivasi terkenal Amerika Syarikat.
Bentuk bantuan tidak semestinya wang ringgit, ilmu dan
sebagainya. Tetapi juga dalam bentuk kasih sayang, perihatin, kejujuran,
motivasi, bimbingan dan sebagainya yang termampu diberikan. Kebiasaan berkongsi
seperti itu selain memudahkan kita memperluas jalinan hubungan sosial, juga
dapat membangunkan keyakinan diri kerana merasa kehidupan kita lebih bererti.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment