Wednesday, April 18, 2018
Kegagalan Kerana Malas Belajar
Pada suatu hari, ada seorang tua yang sekian lama bertapa di
dalam sebuah gua ingin membina sebuah rumah. Selama ini, dia hidup dalam sebuah
gua yang kecil. Perkara pertama yang dilakukannya ialah turun ke kaki gunung
untuk membeli alat pemotong kayu di kedai peralatan di pekan terdekat.
"Saya ingin pindah dari gua dan membina rumah sendiri
dari kayu," katanya dengan bangga kepada pemilik kedai tersebut. Lalu dia
menyambung, "Jadi saya perlu alat pemotong kayu yang paling baik, tiada
masalah berapa pun harganya."
Pemilik kedai itu segera menuju ke gudang penyimpanan barang
dan kembalai dengan sebuah mesen gergaji yang nampak kuat dan berkilat.
"Ini alat pemotong yang terbaik di pasaran," kata pekedai itu.
"Dengan alat ini awak mampu menebang kayu seperti pisau
memotong mentega. Saya jamin dengan alat pemotong kayu ini, pekerjaan memotong
dan menebang kayu yang memakan waktu sebulan, boleh diselesaikan dalam satu
hari sahaja. Jika tidak, saya kembalikan wang," ujarnya lagi.
Orang tua itu sangat tertarik dengan penjelasan pemilik
kedai peralatan itu tadi. Lalu dia membeli gergaji tersebut dan kembali semula
ke gua tempat dia bertapa.
Sebulan kemudian, ketika pekedai itu sibuk menguruskan
kedai, dia mendengar suara teriakan orang tua itu, "Hai orang muda, saya
datang untuk memulangkan alat pemotong kayu ini. Tolong kembalikan wang saya
seperti yang awak janjikan dahulu."
Pemilik kedai itu memandang wajah orang tua tadi. Dia
terkejut melihat penampilan orang tua itu yang tidak terurus. Orang tua itu
kelihatan seperti tidak tidur berminggu-minggu. Kelihatan bekas tompok-tompok
darah dan peluh pada pakaiannya. Nampak seperti dia bekerja keras setengah
mati.
"Apa sudah jadi dengan pak cik? Wajah pak cik kelihatan
cengkung dan tidak bermaya," tanya pekedai itu terkejut.
Dengan sisa-sisa kekuatan yang ada padanya, orang tua itu
mengangkat mesin gergaji itu ke atas meja. Sambil merungut-rungut, dia berkata,
"Alat pemotong kayu apa yang kau jual ni?
"Kau kata alat ini mampu menebang pokok dalam sehari
sahaja. Saya sudah gunakan alat pemotong ini selama 30 hari, tetapi kerja saya
belum selesai juga. Seperti yang engkau janjikan, tolong pulangkan wang
saya."
Pekedai itu hairan dan meminta maaf sambil berkata,
"Tentu!!! janji harus ditepati. Tetapi biar saya periksa dahulu alat ini.
Mungkin ada yang tidak kena." Lalu pekedai itu menarik tali yang ada pada
gergaji dan mesin itu berbunyi, "brrrrr!!!"
Disebabkan terkejut dengan bunyi enjin yang kuat itu, orang
tua itu terpelanting ke belakang meja. Dia merasakan seolah-olah bunyi peluru
yang keluar dari mesin itu. Lalu dia berteriak kepada pekedai itu, "bunyi
apakah itu???"
Moral
Seringkali kegagalan bukan disebabkan kurangnya kemampuan
atau usaha kita melakukan sesuatu. Kadang-kadang kegagalan disebabkan
sedikitnya pengetahuan yang kita miliki. Kita telah menjadi orang yang sangat
tidak mahu belajar sesuatu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment