Tuesday, January 21, 2020
Tertib Dalam Amalan: Syariat, Tarikat, Hakikat, Makrifat Part 1/3
Kalau Tuhan tidak 'wujud' di dalam ibadah, lama
kelamaan, Tuhan akan bertambah jauh dan
bertambah jauh. Lebih-lebih lagilah kalau tujuan dan niat ibadah itu adalah
untuk dipuji, untuk disanjung, dan kerana sebab-sebab lain yang berbentuk duniawi. Sudah tentulah
ia tidak akan ada nilai apa-apa. Malahan ibadah seperti ini akan Allah
lemparkan semula ke muka pengamalnya beserta dengan laknat-Nya sekali. Lagi banyak
dia beribadah, lagi dia rasa sombong, angkuh, riyak, ujub, rasa diri mulia,
rasa diri baik dan sebagainya. Lagi banyak dia beribadah, lagi dia pandang
orang lain hina, jahat dan tidak berguna.
Beramal dalam Islam ada tertibnya. Ada “progression”nya dari
satu tahap ke tahap yang lebih tinggi. Ia bermula dengan Syariat, kemudian
dengan Tariqat, diikuti pula dengan Hakikat dan diakhiri dengan Makrifat.
1. Syariat.
Ini adalah ilmu. Ia melibatkan ilmu tentang peraturan,
hukum-hakam, halal haram, sah batal dan sebagainya. Ilmu perlu dalam beramal.
Tanpa ilmu, kita tidak tahu macam mana hendak beramal mengikut cara yang Tuhan
mahu. Kalaupun kita sudah cinta dan takut dengan Tuhan dan kita terdorong untuk
menyembah-Nya, kita tidak boleh berbuat demikian ikut sesuka hati kita atau
ikut cara yang kita cipta sendiri. Tuhan tidak terima, kita mesti ikut cara
yang ditetapkan oleh Islam dan kita mesti belajar. Amalan tanpa ilmu itu
tertolak. Ilmu atau syariat ini ibarat biji benih.
2. Tariqat.
Ini adalah peringkat menghidupkan ilmu menjadi amalan secara
istiqamah dan bersungguh-sungguh, difahami, dihayati. Ilmu [syariat] yang ada
perlu dilaksanakan. Pengamalan ilmu ini dinamakan juga tariqat wajib dan ia
tidak sama maksudnya dengan tariqat sunat yang mengandungi wirid-wirid dan
zikir-zikir yang menjadi amalan setengah pengamal-pengamal sufi. Tariqat ini
ibarat kita menanam biji benih tadi [syariat] hingga ia bercambah, tumbuh dan
menjadi sebatang pokok yang bercabang dan berdaun.
3.Hakikat.
Hakikat adalah buah. Selepas kita ada syariat, kemudian kita
amalkan syariat itu hingga ia naik ke peringkat tariqat, yakni ia menjadi
sebatang pokok yang bercabang dan berdaun, maka kalau cukup syarat-syaratnya
maka pokok itu akan menghasilkan buah.
Buah tariqat adalah akhlak dan peningkatan peringkat nafsu
atau pencapaian maqam-maqam mahmudah. Boleh jadi ia menghasilkan maqam sabar,
maqam redha, maqam tawakkal, maqam tawadhuk, maqam syukur dan berbagai-bagai
maqam lagi. Boleh jadi hanya terhasil satu maqam sahaja [sebiji buah sahaja]
atau boleh jadi akan terhasil beberapa maqam berbeza dari satu pokok yang sama.
Hakikat juga adalah satu perubahan jiwa atau perubahan
peringkat nafsu hasil dari syariat dan tariqat yang dibuat dengan
bersungguh-sungguh, istiqamah, faham dan dihayati.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment