Tuesday, January 21, 2020
Tertib Dalam Amalan: Syariat, Tarikat, Hakikat, Makrifat Part 2/3
4. Makrifat.
Ini adalah hasil dari hakikat, iaitu hal-hal hakikat yang
dapat dirasai secara istiqamah. Ia adalah satu tahap kemajuan rohaniah yang
tertinggi hingga dapat benar-benar mengenal Allah dan rahsia-rahsia-Nya. Orang
yang sudah sampai ke tahap ini digelar Al Arifbillah.
Kalau kita lihat dengan teliti, tertib dalam amalan ini
bermula dari yang lahir dan berakhir dengan yang batin.
Syariat dan tariqat itu terletak dalam kawasan lahir.
Hakikat dan makrifat pula menjangkau ke alam batin iaitu ke
dalam hati dan rohani.
Kita juga dapat lihat bahawa peringkat syariat dan tariqat
adalah peringkat-peringkat yang agak mudah untuk dicapai kerana ia hanya
melibatkan usaha lahir. Tetapi untuk mencapai peringkat hakikat dan makrifat,
ia agak lebih sukar dan lebih rumit.
Kesukaran ini ialah kerana pertama, ia memerlukan istiqamah
dalam beramal dan kedua kerana ia memerlukan juga amalan batin atau amalan hati
atau apa yang dinamakan hikmah. Amalan yang berhikmah ialah amalan yang
dihayati dan dijiwai, yang mempunyai roh dan rasa-rasa. Tanpa kedua-dua perkara
ini iaitu istiqamah dan hikmah, tariqat tidak akan dapat melonjak ke peringkat
hakikat dan seterusnya ke peringkat makrifat.
Itu sebabnya ramai orang yang berjaya sampai ke peringkat
tariqat iaitu boleh berilmu dan beramal tetapi tersekat di situ sampai ke tua
tanpa dapat meningkat ke peringkat hakikat. Sudah beramal selama 50 hingga 60
tahun tetapi tidak juga lahir akhlak dan tidak juga dapat mencapai maqam-maqam
mahmudah. Dalam ertikata yang lain, mereka sudah beribadah berpuluh-puluh tahun
tetapi ibadah mereka belum menghasilkan buah iaitu akhlak.
5. Istiqamah.
Ini adalah salah satu syarat atau tuntutan untuk mencapai
hakikat. Istiqamah ialah tetap dalam beramal. Amalan pula adalah amalan lahir
dan ada amalan batin atau hati. Istiqamah itu perlu dalam amalan lahir mahupun
amalan batin. Malahan istiqamah dalam amalan batin lebih dituntut.
Istiqamah dalam amalan lahir agak mudah. Ramai orang yang
istiqamah dalam sembahyang, dalam berpuasa, dalam berzakat dan sebagainya.
Ramai yang tak tinggal sembahyang, tak tinggal puasa. Tetapi istiqamah dalam
amalan batin adalah lebih sukar dan rumit. Istiqamah dalam amalan batin ini
ramai yang tidak mampu melakukannya walaupun sudah istiqamah dalam amalan
lahir.
Ramai orang cuba sabar tapi tidak istiqamah dalam sabar.
Duit hilang boleh sabar. Sakit dan demam boleh sabar. Tapi bila orang kata
nista dan menghina, tidak sabar. Bila isteri buat hal, tidak sabar.
Ramai orang boleh bersyukur. Dapat duit bersyukur, dapat
pangkat bersyukur, dapat anak pun bersyukur tapi tidak mampu bersyukur bila
dapat berbuat ibadah dan kebaikan, dan bila terhindar dari berbuat maksiat dan
kejahatan.
Ramai orang boleh jadi pemaaf kalau yang meminta maaf itu
kawannya, isterinya atau anaknya. Tapi kalau yang meminta maaf itu musuh atau
seterunya, susah dia hendak maafkan.
Ramai orang boleh berbuat baik kepada kawannya,
sanak-saudaranya, ibu dan ayahnya yang selalu berbuat baik padanya tetapi tidak
sanggup berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat padanya.
Ramai orang boleh bertegur sapa dan bermesra dengan
kawan-kawannya tetapi tidak boleh bertegur sapa dan bermesra dengan orang yang
dibencinya. Begitulah seterusnya.
Sangat susah dan payah untuk kita beristiqamah dalam amalan
hati. Justeru itu ia tidak dapat dijadikan pakaian atau ia tidak dapat mendarah
mendaging. Itu sebab istiqamah itu, terutamanya istiqamah batiniah sangat
dipandang besar. Ia dianggap satu keramat.
Ada hadis yang maksudnya lebih kurang ;
"janganlah kamu meminta jadi wali, tapi mintalah
istiqamah"
Amalan yang tidak istiqamah tidak akan ada kesan apa-apa
pada hati. Amalan yang istiqamah, walaupun sedikit akan tetap ada kesan pada
hati.
Ibarat air yang menitik ke atas batu, lama kelamaan batu itu
akan terlekuk jua. Tetapi air banjir yang besar yang melanda batu sekali sekala
tidak akan memberi apa-apa kesan kepada batu.
Istiqamah adalah tanda ikhlas. Kalau sesuatu amalan itu
tidak ikhlas, ia sukar untuk diistiqamahkan.
Seperti kata para hukama [ahli hikmah] ;
"Hidupnya [kekalnya] amal kerana ikhlas."
Dalam pada itu, istiqamah batiniah lebih memberi kesan
kepada hati daripada istiqamah lahiriah. Itu sebabnya istiqamah batiniah lebih
dituntut dan lebih utama. Ia adalah amalan hati dan kerana itu ia mempunyai
kesan yang langsung dan terus kepada hati.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment