Sunday, February 2, 2020
Rumi
Jalaluddin al-Rumi telah dilahirkan di Wakhsh (Tajikistan),
daerah Balkh Afghanistan pada 30 September 1207 Masihi. Bapanya Bahauddin Valad
merupakan seorang tokoh agama yang tersohor. Di bawah didikannya, Jalaluddin
menerima pendidikan daripada Syed Burhanuddin. Ketika berumur 18 tahun,
keluarga Jalaluddin menunaikan haji dan seterusnya berpindah ke Konya, Turki
dan menetap di sana.
Ketika berumur 25, beliau telah dihantar ke Aleppo (Halab)
untuk meneruskan pengajian dan seterusnya ke Damsyik. Jalaluddin al-Rumi
meneruskan pengajiannya sehingga berumur 40 tahun. Walau bagaimanapun beliau
telah menjadi seorang ‘professor’ di salah sebuah madrasah di Konya ketika
berumur 24 tahun iaitu setelah kematian bapanya. Antara gurunya yang terkenal
ialah Syed Burhanuddin dan Shamsuddin al-Tibriz. Beliau meninggal dunia di
Konya pada tahun 672 Hijrah bersamaan 17 Disember 1273 Masihi setelah dikenali
sebagai seorang maulana dalam tarikat kesufian.
Akhlak dan Peribadi
Maulana Jalaluddin al-Rumi mempunyai keistimewaan yang
tersendiri serta memiliki akhlak dan peribadi yang mulia. Antara keistimewaan
dan kehebatan yang dipamerkan oleh beliau ialah:
1) Tidak pernah selesa ketika tidur. Beliau tidak mempunyai
bantal atau tilam untuk tidur, sebaliknya apabila terasa mengantuk beliau akan
tidur di mana sahaja beliau sedang duduk. Beliau melakukan sedemikian agar
beliau mudah ‘terjaga’ daripada tidur dan dapat menumpukan perhatian kepada
ibadah dan berzikir kepada Allah SWT. Ini kerana beliau merasakan kehidupan di
dunia hanyalah sementara sahaja, justeru
masa yang ada hendaklah dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.
2) Munajat. Sebaik sahaja tiba waktu solat fardhu, beliau
serta-merta mengadap kiblat dengan penuh kekhusyukan. Beliau tidak lagi
memikirkan segala urusan dunia. Beliau juga sentiasa bermunajat kepada Allah
memohon keampunan daripadaNya.
3) Zuhud. Apa sahaja hadiah yang diterima daripada raja,
pembesar atau hartawan akan disedekahkannya kepada orang lain. Beliau bersifat
pemurah sehingga beliau tidak pernah mengecewakan seorang pengemis pun yang
meminta bantuan daripadanya.
4) Rezeki yang halal. Beliau juga sentiasa berhati-hati agar
tidak masuk dalam mulutnya sesuatu yang bersumberkan daripada yang haram. Ini
kerana rezeki yang haram akan menyebabkan hati menjadi kotor, lantas akan lupa
dan lalai daripada mengingati Allah.
5) Sumbangan / karya sumbangan beliau lebih tertumpu kepada
bidang tasawuf. Beliau banyak menghasilkan puisi yang berunsur kesufian.
Karyanya yang paling masyhur dikenali sebagai ‘Mathnawi’ yang menghimpunkan
banyak puisi kesufian dan perbincangan agama. Kitab Mathnawi ini terdiri
daripada enam kitab (bahagian) puisi dan ia mempunyai kekuatan sehinggakan
pembacanya akan dapat merasai kebahagiaan dan kelazatan spiritual yang hebat. Karya
ini dihasilkan dalam tempoh empat puluh tiga tahun. Selain daripada itu, beliau
juga telah menghasilkan ‘al-Diwan’ yang menghimpunkan puisi, dan ‘fihi-ma-fihi’
yang bermaksud ‘Di dalamnya adalah apa yang ada di dalamnya’ yang merupakan
koleksi kata-kata yang penuh mistik. Fihi Ma Fihi ini telah digunakan sebagai
buku rujukan bagi para sufi. Karya-karyanya ditulis dalam bahasa Parsi, dan
dipandang tinggi oleh orang Parsi kerana kandungannya yang puitis serta nilai
kesusasteraan yang terdapat di dalamnya. Mereka menyanjungi karya-karya beliau,
sehinggakan ia disebut sebagai “al-Quran dalam bahasa Pehlevi (bahasa Parsi)”,
meskipun karya-karya ini bertentangan dengan Syiah yang merupakan kepercayaan
orang Parsi.
Beliau meninggal dunia pada 5 Jamadilakhir 672 Hijrah. Ramai
orang menangis ketika perarakan jenazahnya. Orang Yahudi dan Kristian turut
serta dalam perarakan jenazah itu. Apabila ditanya oleh gabenor Konya
mengapakah mereka ingin turut serta, mereka menjawab bahawa mereka telah
menemui pada peribadinya segala tanda dan ciri para nabi yang tersebut dalam
kitab-kitab mereka. Selain itu, mereka juga dapat mempelajari daripada al-Rumi
sifat para wali dan orang soleh yang tidak diketahui oleh mereka selama ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment